Anwar Hubungi Setiausaha Negara AS, Desak Campur Tangan Bebaskan Aktivis GSF
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio bagi menuntut campur tangan serta tindakan segera tanpa sebarang kelewatan untuk membebaskan sukarelawan serta aktivis Malaysia yang ditahan.
Dalam satu kenyataan di media sosial miliknya, Anwar berkata perbincangan turut diadakan bersama Presiden Turkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar bagi memohon dukungan mereka.
“Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat kita diinjak.
“Dengan penuh keprihatinan, saya berdoa kepada Allah SWT agar semua rakan kita yang ditahan dibebaskan secepat mungkin dan agar saluran bantuan kemanusiaan untuk saudara-saudara kita di Gaza serta seluruh bumi Palestin dapat disampaikan tanpa sekatan,” katanya.
Terdahulu, 15 orang rakyat Malaysia telah ditahan oleh tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) berkata sukarelawan yang ditahan ialah Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif yang menaiki kapal Free Willy.
Selain itu, penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC termasuk pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana dan PU Rahmat.
Sumber: Anwar Ibrahim