PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menerima cadangan rakyat mengenai Belanjawan 2027 ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini hari ini, kurang sejam sebelum pembentangan belanjawan itu di Dewan Rakyat.
Anwar berkata beberapa individu yang ditemuinya mengemukakan pelbagai cadangan, termasuk berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan perumahan.
“Ni jalan-jalan ni (selepas solat Jumaat), tiga empat orang ada cadang itu, ada cadang ini, ada sebut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). “Ada seorang (sebut) pasal rumah. Yang penting jalan,” katanya kepada pemberita sambil menambah bahawa beliau mengambil maklum dan mencatat cadangan berkenaan.
Anwar tiba di masjid itu pada 1.04 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cair dan bersongkok. Ketibaan beliau disambut Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali, pengurusan masjid serta jemaah.
Solat Jumaat dan khutbah bertajuk “Al-Quran Menyatukan Hati, Kasih Merentas Generasi” dipimpin Hazman Hashim.
Dalam khutbahnya, Hazman mendoakan agar Perdana Menteri dan barisan kepimpinan negara diberikan petunjuk serta kebijaksanaan dalam menguruskan perbendaharaan negara menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
“Menjelang pembentangan Belanjawan 2027, khatib menzahirkan harapan dan doa buat Perdana Menteri serta barisan kepimpinan negara. Mengurus perbendaharaan negara ialah amanah berat, bertepatan dengan kaedah fiqh.
“Jadikanlah ia menepati Maqasid Syariah, dan jadikanlah tanah air kami ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ (negara yang baik, makmur dan mendapat keampunan Tuhan),” katanya. Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.
Belanjawan itu merupakan belanjawan kelima Kerajaan MADANI pimpinan beliau, dengan tumpuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat serta meningkatkan taraf hidup mereka.

