Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kebanyakan daripada kita ada masanya mengalami lebam tanpa sebab, rasa letih yang tidak dapat dijelaskan dan demam. Kebiasannya, keadaan ini dianggap berpunca daripada stres, tidur tidak cukup, atau jangkitan virus yang boleh sembuh sendiri. Namun, simptom-simptom ini boleh menjadi petanda kepada masalah yang lebih serius.

Menurut Dr Andy Tang Sing Ong, Pakar Perubatan Hematologi Klinikal & Makmal, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), tanda-tanda ringan ini mungkin bermaksud kita mempunyai gangguan darah tersembunyi. Pengesanan awal memainkan peranan penting.
Kanser Darah dan Gangguan Darah Bukan Kanser
Salah satu kanser darah paling lazim ialah leukaemia, berlaku apabila mutasi pada DNA sel pembentuk darah menyebabkan sel tersebut membiak secara tidak terkawal. Terdapat jenis akut yang merebak dengan pantas dan jenis kronik yang berkembang dengan lebih perlahan.
“Kebanyakan kes leukemia berpunca daripada mutasi yang diperolehi selepas kelahiran,” kata Dr Andy. “Ia biasanya tidak diwarisi. Walau bagaimanapun, jika terdapat sejarah keluarga yang kuat menglibatkan pelbagai jenis kanser merentasi generasi, penilaian genetik wajar dipertimbangkan.”
Selain itu, gangguan darah bukan kanser sering melibatkan masalah pendarahan atau pembekuan yang tidak normal. Ini mungkin diwarisi, seperti hemofilia atau diperoleh kemudian. Yang lain, seperti trombositopenia imun (ITP), berlaku apabila sistem imun secara tidak sengaja menyerang platelet sendiri.

Gejala Yang Sering Diabaikan
Salah satu cabaran utama dalam mendiagnosis gangguan darah adalah kerana simptom-simptom awal yang mudah diabaikan.
“Ramai yang menganggap lebam berlaku akibat terhantuk, atau keletihan disebabkan kurang tidur, tetapi kami melihat pada corak keseluruhan gejala,” kata Dr Andy.
Gejala amaran yang perlu mendapat perhatian perubatan termasuk:
Demam berterusan atau tidak dapat dijelaskan yang berlanjutan lebih daripada dua hingga tiga minggu
Lebam yang muncul di kawasan yang biasanya tidak mudah cedera, seperti belakang atau abdomen
Pendarahan gusi tanpa sebab yang jelas
Jangkitan berulang tanpa pendedahan ketara kepada individu yang sakit
Peluh malam, penurunan berat badan tanpa sebab atau hilang selera makan
Benjolan tanpa rasa sakit atau nodus limfa yang membesar dan tidak hilang
“Benjolan yang tidak sakit sebenarnya lebih membimbangkan berbanding yang sakit. Yang sakit, selalunya berpunca daripada jangkitan manakala benjolan akibat kanser selalunya tidak menyakitkan,” katanya.
Bagi ibu bapa, jangkitan berulang pada anak-anak, terutama yang memerlukan penghospitalan berkali-kali, juga perlu diberi perhatian.
Memahami Risiko Mengikut Usia dan Gaya Hidup
Sesetengah kanser darah lebih lazim dalam kumpulan usia tertentu. Contohnya, leukemia limfoblastik akut (ALL), lebih kerap dilihat pada kanak-kanak, manakala jenis lain lebih biasa pada orang dewasa yang lebih berusia.
Faktor persekitaran dan perubatan juga boleh meningkatkan risiko, termasuk pendedahan kepada radiasi, benzene, racun perosak, atau penggunaan jangka panjang ubat imunosupresif untuk keadaan autoimun seperti lupus.
Wanita dalam usia reproduktif pula lebih cenderung terdedah kepada gangguan darah berkaitan imun seperti ITP dan anemia autoimun. Selain itu, penggunaan jangka panjang pil perancang yang mengandungi oestrogen boleh meningkatkan risiko pembekuan darah pada sesetengah wanita.
“Bukan semua individu berisiko akan menghidap penyakit ini. Tetapi, kesedaran dapat membantu pengesanan awal,” tekan Dr Andy.

Memahami Perjalanan Diagnostik
“Kita mulakan dengan pemeriksaan sejarah perubatan dan fizikal yang terperinci. Dari situ, kami melakukan ujian darah asas. Bukan semua orang memerlukan ujian lanjut,” jelas Dr Andy.
Sekiranya terdapat ketidaknormalan seperti kiraan sel darah yang rendah atau tinggi yang tidak dapat dijelaskan tanpa jangkitan virus, ujian tambahan atau pengimejan akan dilakukan. Biopsi sumsum tulang atau ujian mutasi hanya dilakukan apabila perlu, contohnya apabila terdapat kecurigaan terhadap kanser, demam berterusan yang tidak dapat dijelaskan, atau punca yang tidak jelas bagi keputusan darah yang abnormal.
“Pemeriksaan sumsum tulang membantu mengesahkan sama ada terdapat kanser, jangkitan atau masalah autoimun. Ia menentukan rawatan yang sewajarnya,” katanya.
Bagi kebanyakan ujian darah yang berkaitan dengan kanser, puasa atau persediaan khas tidak diperlukan.
Rawatan Diperibadikan Berdasarkan Jenis Penyakit
Salah tanggapan paling biasa didengari ialah semua kanser darah memerlukan kemoterapi.
“Bagi kanser yang agresif atau simptomatik, rawatan tidak sepatutnya ditangguhkan. Kemoterapi kekal sebagai asas rawatan, dan rawatan biasanya digabungkan dengan terapi sasaran, imunoterapi atau pemindahan sel stem dalam sesetengah kes,” kata Dr Andy.
Walau bagaimanapun, beberapa limfoma indolen mungkin tidak memerlukan rawatan segera jika pesakit tidak mempunyai simptom dan kiraan darah stabil. “Dalam beberapa kes tertentu, kita boleh memerhati dan menunggu. Memulakan rawatan terlalu awal mungkin tidak meningkatkan kelangsungan hidup (survival) tetapi mendedahkan pesakit kepada kesan sampingan yang tidak perlu,” jelasnya.
Untuk keadaan yang bukan kanser, rawatan adalah berbeza;
Gangguan pendarahan mungkin memerlukan pemindahan platelet atau penggantian faktor pembekuan.
Pembekuan darah biasanya dikendalikan dengan ubat penipis darah, disesuaikan dengan keperluan dan profil risiko pesakit.
Gangguan autoimun sering melibatkan steroid atau terapi modulasi imun yang lain, dengan pemantauan teliti dan kerap untuk mengurangkan kesan sampingan jangka panjang.
Untuk sesetengah leukemia risiko tinggi atau limfoma yang berulang, pemindahan sel stem atau sumsum tulang mungkin dipertimbangkan. Ini boleh melibatkan penggunaan sel stem sendiri atau sel daripada penderma.

Pentingnya Bertindak Awal
Dr Andy menekankan kepentingan mendapatkan nasihat perubatan, walaupun simptom kelihatan ringan.
“Mendapatkan nasihat perubatan untuk simptom ringan bukanlah reaksi berlebihan. Badan kita akan membisikkan dan memberikan tanda-tanda yang menunjukkan sesuatu tidak kena sebelum menjadi lebih teruk.
“Jangan abaikan jika simptom berterusan atau menjadi lebih teruk walaupun selepas rehat atau rawatan asas. Intervensi awal boleh mengesan masalah pada peringkat di mana rawatan lebih berkesan dan hasilnya lebih baik.”