Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ar-Rahnu X’Change Perluas Rangkaian Ke Melaka

Ar-Rahnu X’Change

CHENG, MELAKA, 6 OKTOBER 2026 - Rakyat Management Services Sdn. Bhd. (RMS), subsidiari milik penuh Bank Rakyat merasmikan cawangan francais Ar-Rahnu X’Change terbaharunya di Cheng Perdana, Melaka hari ini. Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi RMS, Haji Mohd Jafri Kudus dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh.

Ar-Rahnu X’Change Cheng Perdana merupakan cawangan keempat milik RMS yang menjadikan bilangan keseluruhan sebanyak 87 buah rangkaian di seluruh negara. Cawangan ini beroperasi di No. G-7 & G-9, Jalan Cheng Perdana 1/1A, Taman Desa Cheng Perdana, 75250 Melaka.

Pembukaan operasi di Cheng Perdana ini mencerminkan keyakinan RMS terhadap potensi dan perkembangan industri pajak gadai Islam di negeri Melaka di samping mengukuhkan jenama perniagaan francais pajak gadai Islam milik Bank Rakyat tersebut.

Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berpendapat bahawa Ar-Rahnu merupakan produk yang memenuhi keperluan masyarakat sebagai solusi kepada keperluan tunai segera yang berlandaskan syariah.

“Saya percaya, Melaka mempunyai ruang yang cukup baik untuk perkembangan ini. Lebih-lebih lagi, apabila pertumbuhan kawasan kediaman dan kegiatan komersial turut mendorong kepada permintaan terhadap perkhidmatan kewangan yang lebih dekat, mudah dicapai dan diyakini masyarakat,” katanya.

Ar-Rahnu X’Change mencatat prestasi perniagaan yang memberangsangkan dengan pengeluaran pembiayaan terkumpul sebanyak RM2.8 bilion dengan baki pembiayaan berjumlah RM2.17 bilion bagi suku ketiga 2026. Pada tahun lalu, keseluruhan rangkaian francais berkenaan merekodkan pengeluaran pembiayaan terkumpul sebanyak RM5.1 bilion.

Sementara itu, Haji Mohd Jafri Kudus berkata pemilihan negeri Melaka sebagai lokasi terbaharu francais pajak gadai Islam berkenaan adalah berdasarkan potensi pembangunan dan kestabilan ekonomi negeri berkenaan di bawah gagasan Melaka Maju Jaya.

“Kami amat optimis bahawa kemakmuran ekonomi ini bakal memacu aktiviti perniagaan yang lebih rancak. Inilah senario terbaik untuk perniagaan kami terus berkembang sebagai pelengkap kepada keperluan kewangan penduduk bumi bersejarah ini,” menurut Haji Mohd Jafri.

Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga berharap ruang kerjasama antara Kerajaan Negeri Melaka, Bank Rakyat dan Rakyat Management Services (RMS) dapat diteroka dengan lebih luas menerusi pemantapan ekosistem PMKS dan komuniti perniagaan tempatan, selain pengembangan cawangan Ar-Rahnu X’Change.

“Selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), saya mahu institusi kewangan yang bertapak di Melaka turut mengambil peranan dalam memajukan usahawan kita. Kenali keperluan mereka, dekatkan kemudahan pembiayaan dan bantu mereka merebut peluang untuk berkembang,” tambah beliau lagi.

Pada hari ini, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menyempurnakan acara penyerahan sumbangan program ‘Ar-Rahnu X’Change We Care’ kepada tiga buah sekolah dan dua buah masjid di sekitar Melaka.

Sumbangan zakat wakalah turut diserahkan kepada 52 orang asnaf di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Melaka.

Program sumbangan asnaf ini merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program induk ‘Ar-Rahnu X’Change We Care’. Satu program yang berterusan dalam menterjemahkan falsafah dan budaya Ar-Rahnu X’Change sebagai ‘jenama prihatin’.

Premis Ar-Rahnu X’Change Cheng Perdana turut dilengkapi dengan kaunter jualan produk RMS Gold, jenama perniagaan emas milik RMS yang menawarkan pelbagai pilihan koleksi barang kemas termasuk keluaran siri wafer dan dinar emas.