Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Argentina Bangkit Tewaskan England, Tempah Final Piala Dunia Bertemu Sepanyol

ARGENTINA
Kredit: AFP

Argentina Bangkit Tewaskan England, Tempah Final Piala Dunia Bertemu Sepanyol

Argentina menempah slot ke final Piala Dunia 2026 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, awal pagi tadi.

Lapor CNA, skuad kendalian Lionel Scaloni itu kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan dunia, sekali gus berpeluang muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 memenangi dua Piala Dunia berturut-turut.

England terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Anthony Gordon pada minit ke-55 dan hampir mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Bagaimanapun, Argentina enggan mengalah apabila terus mengasak kubu lawan sehingga berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-85 menerusi rembatan jarak jauh Enzo Fernandez hasil bantuan Lionel Messi.

Ketika perlawanan seakan-akan menuju ke masa tambahan, pemain gantian Lautaro Martinez muncul wira apabila menanduk masuk hantaran silang Messi pada masa kecederaan sekali gus melengkapkan kebangkitan dramatik juara bertahan itu.

Messi yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan terus membuktikan pengaruh besarnya apabila menjaringkan lapan gol dan mencipta empat bantuan jaringan sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Menurut Messi, semangat juang skuad Argentina menjadi kunci utama kejayaan mereka bangkit daripada ketinggalan.

"Ini hanyalah satu perlawanan bola sepak, tetapi sudah tentu ia cukup istimewa, lebih-lebih lagi menentang England dengan segala sejarah antara kedua-dua negara.

"Kisah kami belum berakhir," katanya.

Sementara itu, Scaloni berkata beliau amat berbangga dengan semangat luar biasa yang dipamerkan anak buahnya.

"Hari sebelum ini saya katakan kumpulan ini tidak pernah berhenti mengejutkan saya.

"Kami akan memberikan segala-galanya di final nanti. Apa yang dipamerkan pemain-pemain ini benar-benar luar biasa," ujarnya.

Argentina sebelum ini turut mencipta kebangkitan dramatik ketika menewaskan Mesir pada pusingan 16 terbaik dan kini berpeluang merangkul kejuaraan utama keempat berturut-turut selepas memenangi Copa America sebanyak dua kali serta Piala Dunia 2022.

Dalam pada itu, pengendali England, Thomas Tuchel tetap mempertahankan corak permainan pasukannya meskipun gagal mempertahankan kelebihan yang dimiliki.

Menurut beliau, England telah mempamerkan aksi antara yang terbaik sepanjang kejohanan.

"Dalam situasi ini saya tidak menyesal dengan apa-apa keputusan. Pasukan memberikan segala-galanya dan kami sangat hampir untuk mara ke final.

"Kami bermain dengan baik, mungkin aksi terbaik kami dalam keadaan seperti ini, tetapi kami gagal melepasi halangan terakhir," katanya.

Kapten England, Harry Kane pula mengakui kekalahan itu amat mengecewakan seluruh pasukan.

"Kami benar-benar kecewa. Bukan sahaja pemain, malah barisan kejurulatihan dan penyokong turut merasai kekecewaan ini," katanya.

Sumber:CNA