AS Bakal Keluarkan Pasport Edisi Terhad Papar Imej Presiden Trump
Amerika Syarikat bakal mengeluarkan pasport edisi terhad yang akan memaparkan potret Donald Trump, lapor Sky News.
Jabatan Negara AS berkata pasport itu akan dihasilkan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-250 Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat.
Sebuah potret Presiden AS itu akan dipaparkan pada satu halaman dalam pasport, bersebelahan imej penandatanganan Deklarasi Kemerdekaan pada tahun 1776.
Pasport tersebut juga akan memaparkan tandatangan Donald Trump, manakala kulit hadapannya akan mempunyai perkataan “United States of America” dalam cetakan emas tebal di bahagian atas bahagian bawah pasport, iaitu susunan yang diterbalikkan daripada reka bentuk standard.
Sementara itu, bahagian belakang pula akan menampilkan bendera kecil Amerika Syarikat berwarna emas dengan nombor 250 yang dikelilingi bintang.
Ciri-ciri Passport Edisi Khas
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott turut menerangkan ciri-ciri passport edisi khas tersebut.
“Pasport ini akan menampilkan karya seni khusus dan imej yang dipertingkatkan sambil mengekalkan ciri keselamatan yang sama yang menjadikan pasport AS sebagai dokumen paling selamat di dunia.” katanya.
Kira-kira 25,000 hingga 30,000 pasport edisi khas itu akan ditawarkan kepada pemohon di pejabat pasport Washington DC sebelum 4 Julai.
“Pasport itu akan menjadi pilihan utama bagi mereka yang memohon secara bersemuka di pejabat tersebut, namun mereka yang mahukan pasport standard masih boleh mendapatkannya melalui permohonan dalam talian atau di luar Washington,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Negara turut memaklumkan kepada media tempatan bahawa tiada bayaran tambahan akan dikenakan untuk mendapatkan pasport edisi terhad itu.
Syiling Emas Edisi Khas Trump Dalam Perancangan
Dalam perkembangan berkaitan sambutan ulang tahun tersebut, US Mint turut mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan syiling emas peringatan yang memaparkan imej Trump.
Jabatan Perbendaharaan juga menyatakan bahawa mata wang kertas akan menampilkan tandatangan Donald Trump, iaitu kali pertama seorang presiden yang sedang berkhidmat berbuat demikian.

Dalam penggal kedua pentadbiran Trump, sekutu beliau turut menambah namanya pada bangunan US Institute of Peace dan Kennedy Center.
Trump juga merancang pembinaan sebuah gerbang kemenangan di Washington DC yang akan menampilkan figura bersayap gergasi diapit dua helang serta dikawal empat singa, semuanya disalut emas.
Selain itu, beliau turut merancang pembinaan dewan besar di White House, membuat perubahan pada Oval Office, serta menukar Rose Garden menjadi kawasan patio berturap batu.

