Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS Guna Kuasa Veto Halang Resolusi Gencatan Senjata Di Gaza 

Azizah Najib
as guna kuasa veto
Kredit: AFP

AS Guna Kuasa Veto Halang Resolusi Gencatan Senjata Di Gaza

Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik Amerika Syarikat (AS) selepas negara itu menggunakan kuasa veto untuk menghalang resolusi gencatan senjata dan akses kemanusiaan tanpa had di Gaza.

Menurut AFP, resolusi yang dibentangkan pada Rabu itu menjadi undian pertama yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan mengenai isu di Gaza sejak November lalu.

Wakil AS ke PBB, Dorothy Shea mendakwa resolusi itu akan menjejaskan usaha diplomasi sedia ada dan menguatkan kedudukan Hamas.

“Resolusi ini akan melemahkan usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata yang mencerminkan realiti di lapangan dan menguatkan Hamas,” katanya.

Beliau turut mengkritik kandungan resolusi tersebut yang disifatkan sebagai tidak seimbang.

Draf resolusi itu menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza yang dipatuhi oleh semua pihak. Selain itu, ia turut menggesa pembebasan segera, bermaruah dan tanpa syarat terhadap semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan lain.

BACA: “Kelaparan Yang Tidak Pernah Dilihat Sebelum Ini” Cengkam Gaza, UNRWA Beri Amaran

Resolusi itu juga menyatakan kebimbangan terhadap ‘situasi kemanusiaan yang amat dahsyat’ di wilayah Palestin, dan sekiranya diluluskan, ia akan menuntut semua sekatan ke atas kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza ditamatkan dengan serta-merta.

Sementara itu, Duta Pakistan ke PBB, Asim Ahmad menyifatkan tindakan AS sebagai satu titik hitam dalam sejarah Majlis Keselamatan.

“Hal ini bukan sahaja akan kekal sebagai noda moral tetapi juga detik politik yang akan bergema untuk generasi akan datang,” katanya.

Duta China ke PBB, Fu Cong pula berkata keputusan undian pada Rabu itu mendedahkan punca sebenar Majlis Keselamatan gagal menghentikan konflik di Gaza.

“Keputusan undian hari ini sekali lagi membuktikan bahawa kegagalan majlis menangani konflik Gaza berpunca daripada halangan berterusan oleh Amerika Syarikat,” ujarnya.

Veto tersebut merupakan tindakan pertama seumpamanya oleh Washington sejak Presiden AS, Donald Trump, memegang jawatan pada Januari.

Tekanan antarabangsa kepada Israel untuk menamatkan perang di Gaza semakin meningkat, dengan pelbagai demonstrasi dilakukan di beberapa negara.

Sumber: AFP