Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS, Kanada Tawar Bantuan Kepada Nepal, Puluhan Rakyat Mereka Dilaporkan Hilang

As, Kanada Tawar bantuan kepada Nepal
Kredit: Anadolu

ISTANBUL, 27 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pada Rabu menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada Nepal selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan bersempadan dengan China, dengan puluhan rakyat kedua-dua negara antara yang dilaporkan hilang, lapor Anadolu Ajansi.

“Jabatan Negara bersedia menyokong kerajaan Nepal dengan bantuan kemanusiaan yang diperlukan,” kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio menerusi hantaran di X.

Beliau turut menyatakan solidariti dengan rakyat Nepal dan berkata Washington mendoakan mereka yang terjejas akibat bencana itu.

Perdana Menteri Kanada Mark Carney menyifatkan bencana berkenaan sebagai “amat dahsyat”.

“Ingatan rakyat Kanada bersama semua yang sedang berdepan kesusahan, mereka yang kehilangan insan tersayang serta mereka yang masih menanti khabar,” kata Carney menerusi hantaran di X sambil menambah kerajaannya bersedia memberikan sokongan.

Sekurang-kurangnya 47 rakyat AS antara yang dilaporkan hilang, manakala 24 rakyat Kanada juga masih belum diketahui nasib mereka, menurut pihak berkuasa Nepal.

Washington dan Ottawa bagaimanapun belum mengesahkan angka itu secara berasingan.

Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 160 nyawa dan menyebabkan lebih 680 orang hilang.

Menurut anggaran kerajaan Nepal, banjir memusnahkan 13 projek hidroelektrik serta 40 kilometer jalan raya.

Kira-kira 200 lori dan 19 jambatan turut dihanyutkan arus deras.

Intipati
  • AS dan Kanada bersedia menyalurkan bantuan kecemasan kepada Nepal selepas bencana besar.
  • Sekurang-kurangnya 160 orang maut, manakala lebih 680 dilaporkan hilang akibat bencana itu.
  • Pihak berkuasa Nepal melaporkan puluhan rakyat AS dan Kanada masih belum diketahui nasib.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan