Pelakon, penyanyi dan pengisi suara terkenal Britain, Tim Curry, dilaporkan meninggal dunia pada usia 80 tahun di kediamannya di Toluca Lake, Los Angeles, pada Selasa.
Menurut laporan Variety, pemergian Curry disahkan oleh pengurus lamanya, Marcia Hurwitz, yang berkata pelakon itu meninggal dunia dengan tenang di rumahnya.
Bagaimanapun, punca kematian belum didedahkan. Curry sebelum ini dilaporkan mengalami beberapa masalah kesihatan selepas diserang strok serius pada 2012.
Curry dikenali ramai menerusi watak ikoniknya, Dr Frank N. Furter, dalam pementasan muzikal The Rocky Horror Show sebelum mengulangi watak sama dalam filem kultus The Rocky Horror Picture Show pada 1975.
Watak flamboyan itu menjadi antara penampilan paling dikenang dalam kerjayanya dan terus menjadikan Curry sebagai figura ikonik dalam dunia hiburan.
Walaupun filem berkenaan tidak mendapat sambutan menggalakkan ketika mula ditayangkan, ia kemudiannya berkembang menjadi sebuah filem kultus dengan tayangan tengah malam yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Menurut laporan itu, peminat bukan sekadar menonton filem berkenaan, malah menjadikan tayangannya sebagai satu pengalaman interaktif dengan mengenakan kostum, menari dan turut menyertai babak-babak tertentu.
Curry sendiri pernah mengakui beliau pada mulanya berasa ragu-ragu untuk menerima watak tersebut kerana bimbang imej itu sukar dipisahkan daripada dirinya.
Namun, katanya dalam satu temu bual pada 1975, sesuatu karya tidak berbaloi dilakukan jika seseorang itu tidak sanggup mengambil risiko.
Selain The Rocky Horror Picture Show, Curry turut membuktikan bakatnya dalam pelbagai bidang sepanjang kerjaya yang menjangkau lebih lima dekad.
Beliau memulakan kerjaya teater profesional pada 1968 menerusi muzikal Hair sebelum tampil dalam pelbagai produksi di London.
Bakatnya turut mendapat pengiktirafan apabila menerima pencalonan Anugerah Tony menerusi persembahannya sebagai Mozart dalam produksi Amadeus pada 1981.
Beliau juga menerima pencalonan Anugerah Laurence Olivier menerusi wataknya sebagai Pirate King dalam pementasan The Pirates of Penzance.
Dalam dunia filem, Curry tampil dalam beberapa karya terkenal termasuk Annie pada 1982, Legend pada 1985 dan filem misteri Clue, yang turut menjadi karya kultus selepas mendapat sambutan lebih baik selepas tayangan awalnya.
Antara watak lain yang cukup dikenali ialah penampilannya sebagai Mr Hector dalam Home Alone 2: Lost in New York pada 1992, selain membintangi The Three Musketeers, Muppet Treasure Island, Charlie’s Angels dan Scary Movie 2.
Beliau turut mencipta nama sebagai pengisi suara dan memenangi Anugerah Daytime Emmy menerusi watak Captain Hook dalam siri animasi Peter Pan and the Pirates.
Curry juga dikenali menerusi watak Pennywise dalam adaptasi mini siri televisyen IT pada 1990, berdasarkan novel karya Stephen King.
Selepas mengalami strok serius pada 2012 yang menyebabkan pergerakannya terbatas dan memerlukan penggunaan kerusi roda, Curry lebih banyak memberikan tumpuan kepada kerja pengisian suara bagi animasi dan permainan video.
Namun begitu, kecintaannya terhadap dunia hiburan tidak pernah pudar.
Pada 2016, beliau kembali mempunyai kaitan dengan karya yang melonjakkan namanya apabila tampil sebagai pencerita dalam versi televisyen The Rocky Horror Picture Show: Let’s Do the Time Warp Again.
Empat tahun kemudian, beliau sekali lagi membawakan watak Frank N. Furter dalam sesi pembacaan skrip secara langsung bagi The Rocky Horror Show.
Dilahirkan pada 19 April 1948 di Grappenhall, Cheshire, Curry kemudiannya membesar di selatan London selepas kematian bapanya.
Beliau merupakan graduan Universiti Birmingham dalam bidang Bahasa Inggeris dan drama sebelum melangkah ke dunia lakonan profesional.
Sepanjang lebih setengah abad bergelar anak seni, Curry bukan sahaja meninggalkan jejak menerusi lakonan, malah suaranya serta karakter-karakter unik yang dibawakan terus kekal dalam ingatan peminat.
Pemergiannya sekali gus menutup tirai perjalanan seorang pelakon versatil yang berjaya menghidupkan pelbagai watak ikonik, khususnya Dr Frank N. Furter, yang menjadikan namanya terus dikenang merentasi generasi.


