Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Saifuddin Nasution Bawa Hasrat PM Anwar Perkukuh Hubungan Malaysia-Pakistan

saifuddin
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lawatan kerja rasminya selama dua hari ke Pakistan minggu lalu telah membuka ruang untuk memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik antara Malaysia dan negara berkenaan.

Menurutnya, beliau turut diberi penghormatan mengadakan kunjungan hormat ke atas dua pemimpin tertinggi Pakistan, iaitu Presiden Republik Islam Pakistan, Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif.

Kredit: Facebook Saifuddin Nasution

Saifuddin berkata, pertemuan itu memberi peluang kepadanya untuk menyampaikan salam serta hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar hubungan erat Malaysia dan Pakistan terus diperkukuh menerusi kerjasama yang lebih strategik dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Alhamdulillah, saya amat menghargai masa yang diluangkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi Pakistan.

“Penghormatan serta layanan mesra yang diberikan kepada saya dan delegasi Malaysia sepanjang lawatan ini turut mencerminkan hubungan erat dan saling menghormati antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, fokus utama perbincangan sepanjang lawatan berkenaan adalah untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang yang berada di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Antara hasil utama yang dicapai, ujarnya, termasuk pemeteraian Perjanjian Antarabangsa Pemindahan Banduan (ITOP) serta persetujuan secara prinsip untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama antara kedua-dua kementerian.

Jelasnya, Malaysia dan Pakistan turut bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang kepolisan, perkongsian risikan, pengurusan sempadan, imigresen, keselamatan siber, pencegahan keganasan, jenayah rentas sempadan serta pembanterasan penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.

“Lawatan ini turut membuka ruang untuk Malaysia mempelajari amalan terbaik Pakistan dalam aspek identiti digital dan teknologi penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau turut bertukar pandangan dengan kepimpinan Pakistan mengenai beberapa potensi kerjasama lain yang boleh diterokai kedua-dua negara.

Katanya, kerjasama itu termasuk dalam bidang perdagangan, keterjaminan makanan, hubungan udara serta beberapa sektor strategik yang berpotensi memberi manfaat kepada Malaysia dan Pakistan.

Menurutnya, perkara berkenaan akan disampaikan kepada Perdana Menteri serta kementerian berkaitan untuk penelitian dan perbincangan lanjut.

Saifuddin berkata, beliau menghargai sambutan baik yang diberikan Kerajaan Pakistan kepada beliau dan delegasi Malaysia sepanjang lawatan tersebut.

“Insya-Allah, saya berharap hubungan erat yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh melalui kerjasama yang lebih strategik, saling melengkapi dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta rakyatnya,” ujarnya.

Intipati
  • Saifuddin mengadakan lawatan kerja dua hari ke Pakistan bagi memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.
  • Beliau bertemu Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Muhammad Shehbaz Sharif.
  • Malaysia dan Pakistan memeterai ITOP serta bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama secara prinsip.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan