Indonesia dijangka menerima kapal induk pertamanya, Giuseppe Garibaldi, pada September ini selepas kapal berkenaan memulakan pelayaran dari Itali menuju ke pangkalan baharunya di Lampung.
Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) memberi jaminan pembinaan pangkalan bagi kapal berkenaan di Lampung akan siap sepenuhnya sebelum ketibaannya.
Ketua Perkhidmatan Penerangan TNI AL, Laksamana Pertama Tunggul berkata, pembinaan infrastruktur pangkalan itu kini sudah memasuki fasa akhir.
“Berhubung kesiapsiagaan infrastruktur pangkalan di Lampung, kami kini telah memasuki fasa kemasan. Proses itu dijangka selesai sebelum Garibaldi tiba di Indonesia,” katanya kepada ANTARA di Jakarta pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perincian mengenai spesifikasi kemudahan yang dibina, namun menegaskan pangkalan itu akan siap sepenuhnya dan boleh beroperasi menjelang akhir bulan depan.
Sehari sebelum itu, Ketua Staf Tentera Laut Indonesia, Laksamana Muhammad Ali mengesahkan Indonesia dijangka menerima kapal tersebut pada September selepas ia belayar dari Itali.
Menurutnya, kapal itu masih menggunakan nama ITS Garibaldi dan mengibarkan bendera Itali buat sementara waktu.
Namun, sebaik tiba di Indonesia, kapal berkenaan akan mengibarkan bendera Merah Putih dan ditukar nama kepada KRI Gajah Mada sebelum memulakan perkhidmatan di bawah TNI AL.
“Ia masih menggunakan nama ITS Garibaldi dan mengibarkan bendera Itali buat masa ini. Namun, kapal itu akan bertukar kepada bendera Merah Putih Indonesia dan dinamakan KRI Gajah Mada sebaik tiba di sini,” katanya.
Muhammad Ali berkata, kapal berkenaan dijangka mengambil masa lebih 20 hari untuk tiba di Indonesia dengan diiringi beberapa kapal perang Itali.
“Ia akan melalui Terusan Suez dan Laut Merah dengan diiringi frigat Itali. Kami menjangkakan kapal itu tiba di Indonesia antara 15 hingga 20 September,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dijadual menghadiri majlis perasmian kapal induk itu pada 25 September.
Majlis berkenaan dijangka disempurnakan dengan upacara menaikkan bendera Indonesia, sekali gus menandakan kapal tersebut secara rasmi memulakan perkhidmatannya sebagai KRI Gajah Mada di bawah Tentera Laut Indonesia.

