Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia menjadi antara 17 negara yang akan dikenakan tarif sebanyak 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS).
Manakala, negara yang lain pula dikenakan sebanyak 12.5 peratus.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mengambil kira komitmen Malaysia untuk melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa sebagai asas penetapan kadar tarif berkenaan.
“Tarif 10 peratus itu akan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS pada 24 Julai 2026, sejurus selepas tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan Seksyen 301 berkaitan lebihan kapasiti terhadap 16 ekonomi termasuk Malaysia, masih diteruskan.
MITI akan memaklumkan perkembangan berkenaan kepada semua pihak berkepentingan selepas USTR menetapkan kadar tarif berkaitan lebihan kapasiti.
"Sementara itu, MITI akan terus berunding dengan Amerika Syarikat," kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, AS mengumumkan tarif import baharu terhadap 60 rakan dagangnya dengan dakwaan penggunaan buruh paksa.
Tarif baharu itu menggantikan duti global yang diperkenalkan Presiden Donald Trump pada awal tahun ini dan bakal tamat tempoh.
Ketika mengumumkan tarif tersebut, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata Washington sedang menguatkuasakan larangan import melibatkan buruh paksa secara tegas dan sudah tiba masanya rakan dagang negara itu mengambil langkah sama.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan AS berhubung tarif itu.
"Perundingan diteruskan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri). Kalau kita tidak dapat jawapan yang memuaskan, kita akan bangkitkan lagi.
"Sekurang-kurangnya, kita rasa lega kerana tarif secara relatif adalah rendah berbanding kebanyakan negara lain," katanya.