Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS Lancar Serangan Bom Ke Atas Pulau Kharg – Trump

Sofea
AS Lancar Serangan Bom
Kredit: AFP

AS Lancar Serangan Bom Ke Atas Pulau Kharg – Trump

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Jumaat berkata bahawa negara itu telah melancarkan serangan pengeboman besar-besaran terhadap sasaran ketenteraan Iran di hab minyak Pulau Kharg, lapor AFP.

Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump berkata sasaran ketenteraan di Pulau Kharg, yang mengendalikan hampir semua eksport minyak mentah Iran, telah dimusnahkan sepenuhnya dalam salah satu serangan pengeboman paling kuat dalam sejarah Timur Tengah.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya buat masa ini tidak menyasarkan infrastruktur minyak di pulau tersebut.

“Namun jika Iran atau sesiapa sahaja cuba mengganggu laluan bebas dan selamat kapal melalui Selat Hormuz, saya akan segera mempertimbangkan semula keputusan ini,” katanya.

AS dan Israel sebelum ini berhati-hati untuk menyerang Pulau Kharg, namun pegawai AS dilaporkan berkata penawanan pulau itu mungkin dipertimbangkan.

Akhbar Wall Street Journal dan New York Times melaporkan bahawa Pentagon telah menghantar kapal serangan amfibia USS Tripoli yang berpangkalan di Jepun ke rantau itu bersama kira-kira 2,500 anggota Marin AS.

Kredit: AFP

Letupan kuat turut menggegarkan Tehran lewat Jumaat selepas AS berikrar untuk meningkatkan serangan udara, manakala media kerajaan Iran melaporkan gelombang baharu peluru berpandu dilancarkan ke arah Israel.

Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth berkata tentera Amerika akan meningkatkan lagi serangan ke atas Iran pada Jumaat, lebih besar berbanding mana-mana hari sebelum ini dalam perang tersebut.

Menurut Pentagon, AS dan Israel telah menyerang lebih 15,000 sasaran di Iran dalam tempoh dua minggu lalu. Tentera Israel pula berkata mereka telah melancarkan 7,600 serangan, kebanyakannya menyasarkan program peluru berpandu Iran.