Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan kemasukan terhadap individu yang berada di Republik Demokratik Congo (DRC) dalam tempoh 21 hari sebelum penerbangan ke negara itu susulan penularan wabak Ebola yang semakin membimbangkan, lapor Anadolu Ajansı.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang Kedutaan AS di Congo, mana-mana penumpang yang pernah berada di DRC dalam tempoh tiga minggu sebelum penerbangan tidak dibenarkan menaiki pesawat yang mempunyai destinasi ke Amerika Syarikat.
“Pengembara yang berada di DRC dalam tempoh 21 hari sebelum penerbangan mereka tidak akan dibenarkan menaiki penerbangan ke destinasi di Amerika Syarikat.
“Semua warganegara dan rakyat Amerika Syarikat yang berada di DRC perlu merancang untuk berada di luar negara itu selama 21 hari sebelum memasuki Amerika Syarikat,” menurut kenyataan tersebut.
Sekatan itu diperkenalkan ketika wabak Ebola terus merebak ke beberapa wilayah di Republik Demokratik Congo.
Dalam perkembangan sama, organisasi perubatan kemanusiaan Doctors Without Borders (MSF) memberi amaran bahawa penularan wabak itu berkembang lebih pantas berbanding usaha membendungnya.
Menurut MSF, jumlah jangkitan yang disahkan kini melebihi 2,000 kes, sekali gus memerlukan tindak balas kesihatan awam yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan penularan berterusan.
Organisasi itu berkata, virus berkenaan telah merebak ke 41 zon kesihatan hanya dalam tempoh dua bulan selepas wabak tersebut mula dikesan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Congo memaklumkan sehingga Rabu, sebanyak 2,011 kes Ebola telah disahkan sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lalu.
Menurut kementerian berkenaan, wabak itu turut meragut 754 nyawa, menjadikan kadar kematian akibat jangkitan Ebola setakat ini sekitar 37.5 peratus.