Keadaan jerebu akibat kebakaran hutan yang berlarutan di Kalimantan bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk, malah turut mengganggu rutin harian mereka, termasuk anak-anak kecil.
Malah, beberapa kawasan di Kalimantan kini diselubungi asap tebal sehingga jarak penglihatan terhad, manakala suasana sekeliling kelihatan malap walaupun pada waktu pagi.
Keadaan itu turut mengelirukan kanak-kanak yang masih kecil sehingga ada antara mereka menyangka waktu tidur sudah tiba, sedangkan hari baru sahaja bermula.
Suasana Malap Di Kalimantan Buat Anak Kecil Keliru

Perkara itu dikongsikan seorang warga Indonesia, @ayun_ayunnn, yang menceritakan keadaan dua anaknya berusia empat tahun dan setahun yang mengalami selesema serta batuk meskipun mereka lebih banyak berada di dalam rumah.
Menurutnya, anak sulungnya yang berusia empat tahun turut keliru dengan keadaan sekeliling apabila bertanyakan sama ada sudah tiba masanya untuk tidur, sedangkan dia baru sahaja bangun pada waktu pagi.
“Anak saya umur empat tahun dan satu tahun. Dah berkurung di rumah, tapi tetap hidung berair dan batuk.
“Si abang tanya, 'Mama sekarang pagi atau malam? Dah nak tidur lagi ke?'. Dia bingung, padahal dia baru sahaja bangun pagi tadi.
“Kalau boleh, mama nak bawa anak-anak untuk lari sekejap dari asap tebal ni,” katanya.
Dalam perkongsian sama, @ayun_ayunnn turut mendedahkan anaknya kerap mengalami batuk sehingga muntah, meskipun pelbagai langkah diambil untuk menghalang asap daripada memasuki rumah.
“Dia batuk, kadang sampai muntah. Ventilasi dah ditutup pakai stiker dinding,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati terhadap keadaan yang terpaksa dilalui @ayun_ayunnn bersama keluarga kecilnya.




