Kadang-kadang, sesuatu yang bermula secara kecil-kecilan tidak pernah dijangka boleh membawa seseorang kepada satu perjalanan yang jauh lebih besar.
Daripada sekadar mencuba, ia perlahan-lahan berkembang menjadi satu usaha yang membuka peluang baharu, memperkenalkan seseorang kepada lebih ramai orang dan akhirnya membentuk satu jenama sendiri.
Begitu juga dengan dunia perniagaan yang tidak semestinya bermula dengan modal besar, perancangan lengkap atau impian untuk terus menjadi sebuah jenama terkenal.
Ada masanya, ia bermula daripada satu idea yang muncul selepas melihat sesuatu di media sosial, sebelum seseorang itu memberanikan diri untuk mencuba.
Bagi Muhammad Irfan Haziq bin Mohammad Zambri atau lebih dikenali sebagai Irfan, pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), perjalanan membina perniagaan itu bermula dengan sesuatu yang cukup sederhana, iaitu secawan Thai milk tea.
Bermula dengan sekadar mahu mencuba menjual air ketika bulan Ramadan, langkah kecil itu akhirnya membawa kepada sesuatu yang tidak pernah disangka.
Daripada berniaga secara kecil-kecilan, Uncle Cha Milk Tea kini semakin dikenali, malah pernah bekerjasama dengan beberapa jenama tempatan yang cukup dekat dengan masyarakat.
Bermula dengan satu posting di TikTok
Irfan tidak pernah mempunyai perancangan untuk membina sebuah perniagaan ketika mula-mula tertarik dengan Thai milk tea.
Semuanya bermula apabila dia terlihat satu posting di TikTok mengenai seseorang yang menjual teh, khususnya Thai tea.
Pada ketika itu, Thai milk tea juga sedang mendapat perhatian di media sosial termasuk Threads. Melihat beberapa orang mula menjual minuman tersebut, timbul pula rasa ingin mencuba sendiri.
“Suatu hari saya nampak satu posting dekat TikTok, dia jual teh iaitu Thai tea. Dari situ saya mula rasa macam ada minat nak buat.”

Irfan kemudian membeli beberapa keperluan seperti meja, lapik meja, balang, serbuk teh dan kelengkapan lain.
Namun, rancangan tersebut tidak terus berjalan apabila beberapa perkara menyebabkan usaha itu terhenti buat sementara waktu. Barang-barang yang sudah dibeli akhirnya hanya tersimpan.
Pertama kali turun menjual
Kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, Irfan kembali terfikir mengenai barang-barang tersebut.
Daripada membiarkannya begitu sahaja, dia mengajak seorang rakannya mencuba menjual minuman berkenaan.
“Saya tanya kawan saya, korang nak buat duit tak? Saya ada barang teh ais ni. Kalau nak, jomlah cuba jual.”
Mereka kemudian mula menjual air secara kecil-kecilan di sekitar kawasan universiti.
Tanpa persediaan besar atau perancangan yang terlalu rumit, mereka sekadar mahu melihat sambutan pelanggan.
Pada hari pertama, sebanyak 50 cawan habis terjual.
Dalam tempoh tiga hari, kira-kira 150 cawan berjaya dijual atau diagihkan, termasuk kepada pelanggan yang memilih untuk menginfakkan minuman kepada orang lain.
Bagi Irfan, sambutan tersebut sudah cukup untuk menunjukkan bahawa minuman itu mempunyai potensi.
Namun, jualan tersebut terhenti seketika apabila mereka pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Cuma nak cari duit lebih
Pada peringkat awal, Irfan langsung tidak membayangkan Thai milk tea tersebut akan berkembang menjadi sebuah perniagaan yang menerima tempahan untuk pelbagai acara.
Tujuannya ketika itu cukup mudah, iaitu mahu memanfaatkan masa bulan puasa dan cuti semester sambil mencari pendapatan sendiri.
“Pada awalnya memang tak ada pun fikir nak pergi sejauh ini. Saya fikir nak jual tepi jalan sahaja waktu puasa dan cuti semester. Nak manfaatkan masa cuti dan nak cari duit sebab nak kerja dengan orang tu agak susah sikit,” ujarnya.
Selepas Raya, dia mula memikirkan semula apa yang mahu dilakukan dengan barang-barang yang masih ada.
“Lepas Raya saya fikir, takkan nak berhenti sampai sini sahaja. Barang pun masih banyak,” katanya.
Ketika itu, dia mula melihat peluang untuk menyediakan minuman bagi acara dan majlis selepas melihat vendor lain melakukan perkara sama di TikTok dan Threads.
Satu posting yang meletup
Irfan kemudian menyediakan setup ringkas untuk sebuah majlis rumah terbuka.
Dia membeli cawan bersaiz kecil, menyediakan meja dan mengambil beberapa keping gambar sebelum memuat naiknya ke Threads dengan kapsyen:
“Alhamdulillah, perniagaan kecil saya masuk rumah terbuka semalam.”
Posting tersebut dibuat tanpa sebarang strategi pemasaran khusus.
Malah, Irfan sendiri tidak menjangkakan ia mendapat perhatian kerana sebelum itu kebanyakan posting-nya di Threads hanya menerima kurang daripada 100 tontonan.
“Selalunya bila saya buat posting di Threads, tak ada banyak tanda suka dan interaksi. Tontonan pun bawah 100. Jadi saya post sahajalah,” ujarnya.
Namun kali ini berbeza.
Ketika berada di dalam kelas, seorang rakannya bertanya mengenai air yang dijualnya di rumah terbuka dan meminta Irfan memeriksa Threads.
Posting tersebut sudah mendapat sekitar 200 'likes'.
Selepas kelas, jumlahnya meningkat kepada 700, kemudian 1,000 sebelum terus melonjak sehingga 11,000 'likes'.
Kesan posting itu bukan sekadar pada jumlah 'likes' semata-mata.
Secara tiba-tiba, mesej langsung di akaunnya mula dipenuhi pertanyaan mengenai harga, pakej dan tempahan.
Sedangkan ketika itu, dia sendiri belum bersedia untuk menerima permintaan dalam jumlah yang banyak.
“Masa tu memang 'gelabah' sebab saya buat suka-suka sahaja. Saya tak kira apa-apa pun, tak ada persediaan.”
Daripada situ, tempahan mula masuk untuk rumah terbuka, akikah, hari jadi dan majlis perkahwinan.
Posting yang dibuat secara suka-suka akhirnya menjadi titik perubahan kepada perniagaan tersebut.
Lahirnya Uncle Cha
Apabila permintaan semakin bertambah, Irfan mula menyedari bahawa apa yang pada awalnya sekadar percubaan untuk mencari duit lebih perlu diuruskan dengan lebih serius.
Dia mula menyusun pakej, mengira kos dengan lebih terperinci termasuk bahan dan tenaga kerja, selain mendapatkan bantuan daripada individu yang mempunyai pengetahuan dalam bidang perakaunan.
Daripada sekadar menjual air secara kecil-kecilan, usaha tersebut akhirnya mempunyai identiti sendiri.
Namanya Uncle Cha Milk Tea.
Pada peringkat awal, Uncle Cha hanya menawarkan satu menu iaitu Thai milk tea.
“Nama dia Uncle Cha Milk Tea sebab waktu tu memang sengaja fokus pada Thai milk tea sahaja. Itu memang menu pertama Uncle Cha,” katanya.
Kini, Uncle Cha menawarkan dua menu utama iaitu Thai milk tea dan Thai green tea.
Namun, bagi Irfan, Uncle Cha bukan sekadar tentang menjual minuman.

Apabila tempahan semakin bertambah, dia mula menyedari bahawa pelanggan turut menghargai pengalaman apabila minuman disediakan secara langsung di hadapan tetamu.
Daripada situ, Uncle Cha mula menawarkan servis penyediaan Thai tea secara langsung atau live serving untuk pelbagai jenis acara.
Konsep tersebut juga cukup dekat dengan diri Irfan yang sememangnya gemar berinteraksi dengan orang ramai.
“Saya memang suka berinteraksi dengan pelanggan. Saya suka tengok perangai manusia, suka berhadapan dengan orang dan suka berurusan dengan orang,” ujarnya.
Bagi Irfan, berhadapan secara langsung dengan pelanggan memberikan peluang untuk melihat sendiri reaksi mereka terhadap minuman dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Bila kita dapat benda tu secara bersemuka, saya rasa puas sebab saya nak tahu sedap ke air yang saya buat, okey ke perkhidmatan kita. Dari situ boleh belajar macam-macam,” tambahnya.
Bagi dirinya, maklum balas secara bersemuka itu penting kerana setiap reaksi pelanggan boleh menjadi ruang untuk Uncle Cha memperbaiki kualiti minuman dan perkhidmatan.
Daripada situ juga, pengalaman berhadapan dengan pelanggan menjadi sebahagian daripada proses Irfan membangunkan Uncle Cha, bukan sekadar sebagai penjual minuman, tetapi sebagai pemilik perniagaan yang mahu memahami apa yang pelanggan perlukan.
Turun padang untuk faham setiap event
Irfan tidak mahu mengehadkan Uncle Cha kepada satu jenis acara sahaja.
Sebaliknya, dia sengaja mencuba pelbagai jenis acara untuk memahami perbezaan suasana, jumlah tetamu dan pergerakan pelanggan.
Daripada majlis perkahwinan, hari jadi, akikah hinggalah rumah terbuka, semuanya diterokai.
“Saya memang nak buat banyak jenis acara sebab saya nak tengok alirannya. Majlis perkahwinan macam mana, hari jadi macam mana, akikah macam mana, rumah terbuka macam mana,” ujarnya.

Pengalaman tersebut membantu Irfan memberikan cadangan yang lebih tepat apabila pelanggan bertanya mengenai pakej.
“Bila pelanggan tanya kenapa kita cadangkan pakej tu, kita boleh bagi alasan yang betul sebab kita memang turun padang. Kita tahu macam mana perjalanan majlis perkahwinan, macam mana jumlah tetamu dan macam mana suasana untuk acara-acara lain,” katanya.
Baginya, pengalaman sebenar di lapangan lebih penting kerana setiap acara mempunyai keperluan yang berbeza.
Cabaran bahagi masa
Di sebalik perkembangan Uncle Cha, cabaran terbesar Irfan ialah menguruskan masa sebagai seorang pelajar.
Hujung minggu yang sepatutnya menjadi masa berehat terpaksa dikorbankan untuk memenuhi tempahan.
Lebih mencabar apabila jadual perniagaan bertembung dengan pengajian dan peperiksaan.
“Cabaran utama memang pengorbanan masa. Hujung minggu kena korbankan untuk bekerja, bukan duduk sahaja. Ada masa esok ada peperiksaan, tapi hari ini kena buat juga sebab tempahan tu dah lama,” katanya.
Namun, pengorbanan tersebut menunjukkan sejauh mana Uncle Cha berkembang.
Daripada hanya mahu berniaga ketika bulan puasa dan cuti semester, tempahan Uncle Cha kini sudah mencapai 2027.
“Alhamdulillah, sekarang ini tempahan dah sampai tahun depan, 2027.”
Pengalaman bermakna bersama JOVI
Seiring dengan perkembangan Uncle Cha, peluang untuk bekerjasama dengan jenama tempatan juga mula terbuka satu demi satu.
Antaranya ialah Sugarbomb bagi acara di Grand Pickleball Arena, Siti Khadijah sempena Membership Day di KL East Mall dan JOVI untuk pembukaan cawangan keduanya di IOI Damansara Mall.
Bagi Irfan, setiap kolaborasi memberikan pengalaman berbeza kerana Uncle Cha berpeluang hadir dalam pelbagai jenis acara dan berhadapan dengan kelompok pelanggan yang berlainan.
Namun, antara pengalaman yang paling bermakna buatnya ialah peluang bekerjasama dengan JOVI sempena grand opening cawangan keduanya di IOI Damansara Mall.

Bagi Irfan, peluang tersebut cukup istimewa kerana Uncle Cha yang pada awalnya hanya bermula dengan jualan kecil-kecilan di sekitar universiti kini diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada acara pembukaan sebuah jenama tempatan yang semakin berkembang.
Lebih menarik, acara tersebut turut memberikan Uncle Cha peluang untuk membawa konsep live serving ke suasana yang berbeza daripada majlis yang biasa dikendalikan.

Pengalaman itu membuatkan Irfan semakin sedar bahawa Uncle Cha tidak semestinya terhad kepada majlis perkahwinan, hari jadi, akikah atau rumah terbuka sahaja.
“Kadang-kadang saya terfikir juga, boleh ke milk tea ni masuk acara sukan macam pickleball? Tapi bila dah buat, alhamdulillah penerimaan orang sangat-sangat baik.”
Bagi Irfan, penerimaan pelanggan dalam acara seperti itu menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna kerana ia membuktikan Thai milk tea juga boleh diterima dalam pelbagai suasana dan acara.
Malah, pengalaman tersebut turut memberi keyakinan kepadanya bahawa konsep live serving yang dibawa Uncle Cha mempunyai ruang untuk dikembangkan kepada lebih banyak jenis acara dan pelanggan.
Views boleh tarik perhatian ramai
Walaupun Uncle Cha sudah menerima tempahan daripada pelbagai pihak, Threads masih menjadi antara medium penting untuk Irfan memperkenalkan perniagaan tersebut.
Dia mengakui platform itu banyak membantu Uncle Cha mendapatkan perhatian pada peringkat awal dan terus digunakan untuk membina hubungan dengan pengguna.
“Saya rasa untuk kekal berkembang dan mendapat kepercayaan, saya kena terus buat posting dekat Threads. Algoritma Threads ini kita kena berhubung dengan orang, kena cuba sedaya upaya supaya orang nampak,” katanya.

Hasilnya, kandungan Uncle Cha boleh mendapat sekitar 500,000 tontonan secara konsisten, malah pernah mencecah satu juta tontonan sebanyak dua kali.
Namun bagi Irfan, angka tersebut bukan ukuran utama kejayaan.
Kepercayaan datang dari kualiti
Menurutnya, media sosial mungkin membantu orang ramai mengenali Uncle Cha, tetapi kepercayaan hanya boleh dibina melalui kualiti produk dan perkhidmatan.
“Kepercayaan itu berdasarkan kualiti air dan perkhidmatan yang diberikan. Berdasarkan dua perkara ini,” ujarnya.
Dia juga percaya pemasaran paling berkesan datang daripada pelanggan sendiri.

“Saya percaya dalam perniagaan, perkongsian dari mulut ke mulut adalah iklan paling besar dan paling berkesan bagi saya. Satu bentuk pemasaran apabila pelanggan sendiri mencadangkan kepada pelanggan lain,” tambahnya.
Sebab itu, Irfan memilih untuk memberi perhatian kepada konsistensi.
Sokongan orang sekeliling
Dalam perjalanan membangunkan Uncle Cha, Irfan turut menerima sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan pensyarah.
Bagi seorang pelajar yang perlu membahagikan masa antara kuliah dan perniagaan, sokongan tersebut menjadi satu dorongan untuk terus bergerak.
Malah, pensyarahnya bukan sekadar memberikan sokongan moral, tetapi turut membeli produk, membuat tempahan dan menginfakkan minuman.
“Alhamdulillah, setakat ini memang dapat sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan pensyarah. Pensyarah memang banyak sangat menyokong. Bukan sokongan moral sahaja, tapi ada yang beli, ada yang buat tempahan dan ada yang menginfakkan minuman,” ujarnya.

Irfan melihat segala sokongan dan peluang yang datang sebagai rezeki yang tidak pernah dirancang sejak awal.
“Setakat ini tak ada pun rasa macam, ya Allah susahnya nak buat perniagaan ini. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan dan beri rezeki yang sangat-sangat tidak terjangka,” katanya.
Impian buka kafe sendiri
Walaupun Uncle Cha bermula dengan satu jenis minuman, impian Irfan terhadap jenama tersebut tidak berhenti pada Thai milk tea.
Dalam masa terdekat, dia mahu membuka sebuah kafe sendiri di bawah nama Uncle Cha.
“Saya nak buka kafe saya sendiri,” ujarnya.
Untuk jangka masa lebih panjang pula, dia mahu Uncle Cha berkembang sebagai sebuah jenama yang mempunyai pelbagai cabang perniagaan dan tidak terhad kepada sektor makanan dan minuman.
“Saya nak Uncle Cha ini jadi satu jenama yang boleh sediakan macam-macam. Bukan sahaja makanan dan minuman. Saya nak satu nama yang besar, ada banyak cabang dalam perniagaan,” katanya.
Buat masa ini, kafe menjadi sasaran terdekat sebelum dia mengembangkan jenama tersebut kepada bidang lain.
Tak sangka boleh pergi sejauh ini
Melihat kembali perjalanan tersebut, sukar untuk Irfan sendiri menjangka sejauh mana Uncle Cha akan berkembang.
Posting yang pada awalnya dibuat tanpa sebarang jangkaan akhirnya meraih 11,000 'likes' membawa masuk pertanyaan dan tempahan, seterusnya mendorong Irfan menyusun perniagaan dengan lebih serius.
Hari ini, Uncle Cha bukan lagi sekadar jualan minuman secara kecil-kecilan.
Ia sudah menjadi perkhidmatan live serving Thai tea yang hadir dalam pelbagai acara, menerima tempahan sehingga 2027 dan mendapat peluang bekerjasama dengan jenama tempatan seperti Sugarbomb, Siti Khadijah dan JOVI.
Dalam proses itu, Irfan turut belajar bahawa membina perniagaan bukan sekadar tentang mendapatkan perhatian di media sosial.
Ia memerlukan konsistensi, pengalaman berhadapan dengan pelanggan, pengurusan masa dan usaha memastikan setiap pelanggan pulang dengan pengalaman yang baik.
Daripada sekadar mahu mencari duit lebih ketika bulan Ramadan, kini dia sudah mempunyai impian untuk membuka kafe sendiri dan menjadikan Uncle Cha sebuah jenama yang lebih besar pada masa akan datang.
Dan mungkin itulah perkara paling menarik tentang perjalanan Uncle Cha.
Ia tidak bermula dengan rancangan untuk menjadi besar.
Ia bermula dengan satu minuman, satu peluang dan keberanian untuk mencuba. Selebihnya, Irfan memilih untuk terus berjalan apabila peluang mula terbuka.
“Memang tak terjangka yang benda ini boleh pergi sejauh ini,” katanya.

