Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ashwad Ismail Dilantik Ketua Pengarah Penyiaran RTM
Ashwad Ismail hari ini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baharu.
Dalam masa sama, Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu bagi memperkukuh struktur pengurusan dan pentadbiran RTM.
Menerusi hantaran @rtm_malaysia di Threads, pihak RTM mengalu-alukan kedua-dua pemimpin baharu itu serta mengharapkan kepimpinan mereka dapat membawa RTM ke arah transformasi penyiaran yang lebih inovatif dan berkesan.
"Hari ini min dapat dua bos baru
"Selamat datang YBrs. Encik Ashwad Ismail dan YBrs. Dr. Sharifah Adlina binti Syed Abdullah ke RTM," ujar hantaran itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Threads menzahirkan ucapan tahniah kepada Ashwad Ismail dan Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada bekas Ketua Pengarang Astro AWANI Ashwad Ismail yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran.
“Selamat Datang ke keluarga Kementerian Komunikasi!
“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ashwad, 40, mengisi kekosongan jawatan itu bagi menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang menamatkan perkhidmatannya pada 22 Feb lepas, selepas hampir tiga tahun menerajui agensi penyiaran awam berkenaan.
Mempunyai pengalaman hampir 19 tahun bersama Astro AWANI, Ashwad merupakan sebahagian daripada pasukan pengasas sejak 2007 dan memegang jawatan Ketua Pengarang selama lima tahun, dengan beliau memimpin pembentukan hala tuju editorial serta menetapkan standard liputan berita.
Selain kerjaya di bilik berita, beliau juga pernah memegang tanggungjawab sebagai Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) bagi tempoh 2023-2025, iaitu sebuah platform kerjasama media dua hala yang memperkukuh hubungan profesional antara pengamal media kedua-dua negara.
Nama Ashwad turut signifikan dalam liputan berita antarabangsa apabila beliau merupakan antara anggota delegasi Malaysia dalam Global Sumud Flotilla (GSF) yang berada di atas kapal MV Mavi Marmara pada 2010, di mana ketika itu kapal tersebut dirampas tentera Israel dalam misi Flotila Kebebasan ke Gaza.
Ashwad merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dan Kerajaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) serta mempunyai Diploma Pengurusan Penyiaran daripada Malaysia Institute of Integrative Media (MIIM).
Beliau juga merupakan Senior Fellow of Public Service di Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore dan dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial di Universiti Islam Selangor.