Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tak perlu terbang beribu-ribu kilometer ke Jepun untuk merasai kemeriahan budaya negara Matahari Terbit itu.
Sebaliknya, orang ramai hanya perlu berkunjung ke Pavilion Kuala Lumpur bagi menghidupkan suasana jalanan Tokyo menerusi kempen 'Journey to Tokyo' sempena sambutan ulang tahun ke-15 Tokyo Street, lengkap dengan kehadiran ikon anime Astro Boy, pengalaman memakai yukata, bengkel origami serta pelbagai aktiviti kebudayaan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Malls, Datuk Joyce Yap berkata, festival berkenaan merupakan sebahagian daripada Japan Festival 2026 yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Damansara Heights bagi meraikan keunikan budaya Jepun menerusi pelbagai pengalaman interaktif.
Katanya dalam satu kenyataan selepas sidang akhbar Pavilion KL: Journey to Tokyo, festival itu bukan sekadar mengetengahkan budaya dan tradisi Jepun, malah bertujuan mengeratkan lagi hubungan budaya antara Malaysia dan Jepun.
Menurut beliau, setiap Pavilion Malls menampilkan pengalaman yang berbeza, daripada budaya pop Jepun, tradisi matsuri hinggalah keindahan musim bunga sakura.
"Keistimewaan budaya Jepun terletak pada keupayaannya mengekalkan warisan dan tradisi yang menjadi identitinya, sambil terus berkembang seiring peredaran zaman.
"Menerusi Japan Festival 2026, kami meraikan keseimbangan ini di ketiga-tiga Pavilion Malls melalui pengalaman yang menampilkan keunikan budaya, seni pertukangan tangan serta pengaruh budaya pop Jepun yang terus diminati ramai.

"Kami berharap festival ini bukan sahaja dapat mendekatkan para pengunjung dengan keindahan budaya Jepun, malah turut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi gaya hidup pilihan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Di Pavilion Kuala Lumpur, ujar Joyce, sambutan ulang tahun ke-15 Tokyo Street akan berlangsung dari 10 Julai hingga 2 Ogos, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Astro Boy Stamp Rally, sesi Meet & Greet Astro Boy, bengkel origami serta peluang mencuba pemakaian yukata secara percuma pada hujung minggu terpilih.
Beliau berkata, kemuncak sambutan dijadual berlangsung pada 29 Julai sempena ulang tahun Tokyo Street, dengan 150 pelanggan terawal bakal menerima warabimochi percuma, manakala 50 pelanggan pertama yang membuat pembelian akan membawa pulang Japanese Mystery Bag eksklusif.
Menurutnya, pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM50 di mana-mana premis Tokyo Street juga layak menebus Japanese Lucky Bag yang mengandungi pelbagai snek dan hadiah bertemakan Jepun.
Selain Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Damansara Heights turut menawarkan pengalaman berbeza menerusi festival bertemakan Jepun, termasuk peluang memenangi pakej percutian ke Jepun, bazar budaya, persembahan matsuri serta dekorasi bunga sakura sepanjang festival berlangsung.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan