Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Paras Air Susut, Tiga Kampung Pernah ‘Tenggelam’ Muncul Semula

Paras Air Susut
Kredit: ANTARA

Paras Air Susut, Tiga Kampung Pernah ‘Tenggelam’ Muncul Semula

Sekurang-kurangnya tiga buah kampung yang ditenggelami oleh Empangan Karian muncul semula di Kabupaten Lebak, Indonesia, susulan musim kemarau.

Memetik laporan Detik Jabar, air yang surut telah mendedahkan semula kawasan penempatan yang pernah dikosongkan bagi memberi laluan kepada pembinaan empangan itu.

Menurut laman web Kementerian Kerja Raya, Empangan Kerian merupakan Projek Strategik Kebangsaan dengan kapasiti air sebanyak 314.7 juta meter padu.

Untuk pengetahuan, pembinaannya bertujuan membekalkan air kepada Kabupaten Lebak, Kota Tangerang, Kabupaten Tangerang, Kota Tangerang Selatan serta wilayah Jakarta.

Pembinaan Empangan Karian bermula pada Oktober 2015 dan siap sepenuhnya pada 2023. Penduduk yang terlibat dalam projek itu dipindahkan ke penempatan baharu.

Sekurang-kurangnya tiga kampung terlibat dalam proses penempatan semula, iaitu Kampung Susukan, Kampung Cibolang dan Kampung Karian, membabitkan pembebasan tanah seluas 2,226.44 hektar.

Kerajaan Indonesia turut memindahkan 37 bangunan kemudahan awam, manakala lapan lagi dipindahkan pada 2024.

Secara keseluruhan, bangunan yang dipindahkan terdiri daripada enam sekolah, 11 masjid, lima madrasah, sembilan balai pengajian, enam surau, empat pejabat desa, sebuah klinik desa dan tiga pusat kesihatan komuniti (Posyandu).

Selepas kawasan penempatan dikosongkan, proses pengisian awal air Empangan Karian di Kabupaten Lebak, Banten dimulakan pada 2024, sekali gus menenggelamkan kampung-kampung berkenaan.

Kredit: ANTARA

Kampung kembali kelihatan

Kini, apabila paras air empangan menyusut akibat musim kemarau, beberapa kampung yang pernah ditenggelami air itu kembali muncul di permukaan.

Walaupun kebanyakan rumah sudah kehilangan bumbung, dinding-dinding bangunan masih kelihatan jelas, sekali gus memperlihatkan semula bekas kawasan penempatan yang dahulunya padat dengan penduduk.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pentadbiran dan Tata Usaha Balai Besar Wilayah Sungai (BBWS) Cidanau Ciujung Cidurian (C3), Maretha Ayu Kusumawati, berkata lokasi berkenaan terletak di hujung kawasan takungan berhampiran Desa Sukarame dan Desa Sukajaya, Kecamatan Sajira, yang sebelum ini sememangnya merupakan kawasan penempatan padat.

Beliau menjelaskan bahawa bangunan-bangunan tersebut tidak dirobohkan ketika empangan mula dipenuhi air. Sebaliknya, pasukan pembinaan hanya menjalankan kerja-kerja pembersihan tumbuhan di kawasan takungan.

Maretha Ayu berkata, paras air empangan ketika ini hanya menyusut kira-kira lima peratus, namun keadaan itu sudah cukup untuk memperlihatkan dengan jelas rumah-rumah yang ditinggalkan.

Menurutnya, ketika paras air mencapai aras banjir maksimum, sebahagian besar rumah akan kembali tenggelam kerana perbezaan ketinggian kira-kira 3.35 meter berbanding paras air normal.

Sumber:detikjabar
Intipati
  • Tiga kampung bekas penempatan muncul semula selepas paras air Empangan Karian menyusut.
  • Kampung Susukan, Cibolang dan Karian sebelum ini dikosongkan untuk pembinaan empangan.
  • BBWS C3 berkata paras air susut kira-kira lima peratus, mendedahkan rumah ditinggalkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan