Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Asyraf Wajdi Jelaskan Punca Pengumuman Calon BN Johor Lewat Hampir Dua Jam

ASYRAF WAJDI
Kredit: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Asyraf Wajdi Jelaskan Punca Pengumuman Calon BN Johor Lewat Hampir Dua Jam

Kelewatan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam bukan berpunca daripada sebarang krisis dalaman, sebaliknya disebabkan proses tapisan dan dokumentasi yang perlu diselesaikan oleh semua calon.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai spekulasi yang timbul berhubung kelewatan pengumuman itu adalah tidak berasas kerana setiap calon diwajibkan melalui beberapa prosedur penting sebelum diumumkan secara rasmi.

Menurut beliau, antara proses yang perlu dipatuhi termasuk mengangkat baiah sebagai tanda kesetiaan kepada parti dan akujanji untuk tidak melompat parti sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Selain itu, semua calon turut menjalani tapisan menyeluruh melibatkan pelbagai aspek termasuk status kebankrapan, rekod jenayah, pematuhan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta rekod dengan Jabatan Agama Islam.

“Semua ini dilakukan bagi memastikan calon yang diketengahkan benar-benar bersih dan berintegriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Dalam perkongsian sama, Asyraf turut memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan proses semakan dan dokumentasi yang dilalui calon-calon BN sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, setiap calon juga perlu menandatangani beberapa dokumen perjanjian serta kontrak di hadapan peguam dan Pesuruhjaya Sumpah.

Proses yang bermula sekitar pukul 10.30 pagi dan dijangka selesai pada 2.30 petang itu bagaimanapun berlanjutan sehingga kira-kira pukul 4 petang kerana melibatkan keseluruhan 56 calon.

Sehubungan itu, Asyraf memohon maaf kepada penyokong, jentera parti serta pengamal media yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Beliau turut menzahirkan harapan agar semua calon BN diberikan kejayaan dalam PRN Johor demi kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.