Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Azizulhasni Awang Dedah Punca Terkandas Di Suku Akhir Keirin Kejohanan Dunia

azizulhasni
Datuk Azizulhasni Awang

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan dua insiden himpitan ketika perlumbaan suku akhir acara keirin pada Kejohanan Dunia di Shanghai, China baru-baru ini menjejaskan peluangnya untuk mara ke separuh akhir.

Azizulhasni berkata, sasaran peribadinya adalah untuk melangkah ke final, namun insiden yang berlaku ketika perlumbaan menyebabkan beliau gagal meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya.

Menurutnya, cabutan di kedudukan kelima memaksanya memulakan perlumbaan dari belakang sebelum memilih strategi melakukan pecutan ketika memasuki pusingan terakhir.

“Ketika melakukan pecutan, saya dihimpit pelumba Poland selepas memasuki selekoh pertama, namun saya masih meneruskan kayuhan.

“Bagaimanapun, berlaku sekali lagi himpitan besar di selekoh ketiga yang merencatkan kayuhan dan kelajuan saya sehingga menyebabkan saya terkandas di kedudukan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tanpa dua insiden berkenaan, khususnya himpitan besar di selekoh ketiga, beliau yakin mampu meluru ke hadapan untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Azizulhasni mengakui insiden seperti itu merupakan sebahagian daripada lumrah acara keirin yang menyaksikan enam pelumba bersaing serentak, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan sepanjang perlumbaan.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni berjaya melepasi sasaran peribadinya dalam acara pecut individu apabila menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan kelapan daripada 33 pelumba dengan catatan masa 9.564 saat.

Beliau berkata, kemenangan ke atas pelumba Colombia, David Ortego pada pusingan pertama dicapai dengan selesa sebelum beliau tewas kepada Harry Ledingham dari Great Britain dalam perlumbaan pusingan kedua yang berlangsung sengit.

Menurutnya, cabaran utama pada Kejohanan Dunia kali ini adalah untuk mengekalkan kekuatan dan kecergasan pada tahap tertinggi selepas mengharungi musim yang panjang serta mencabar.

“Sudah tentu prestasi dan persiapan untuk Kejohanan Dunia kali ini bukanlah yang terbaik jika dibandingkan dengan pencabar dari negara lain.

“Namun begitu, secara keseluruhan saya mencapai objektif utama di sini, iaitu membawa pulang sebanyak mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28),” katanya.

Intipati
  • Azizulhasni berkata dua himpitan ketika suku akhir keirin menjejaskan peluangnya ke separuh akhir.
  • Beliau mengakui insiden perlumbaan sebegitu lumrah keirin dan mengambil tanggungjawab atas prestasinya.
  • Dalam pecut individu, beliau menduduki kelapan kelayakan sebelum tewas kepada Harry Ledingham.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan