Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Azrin Khairi Dizahirkan Undang Luak Jelebu Ke-17

Azrin Khairi
Kredit: Bernama

KUALA PILAH, 14 Okt (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Terdahulu, Azrin bersama isteri Datin Norazizan Mamat diarak ke istana oleh lebih 200 anggota rombongan Undang Luak Jelebu dengan iringan rebana dan paluan kompang sebelum Orang Empat Istana menghadap Tuanku Muhriz membawa tepak sireh untuk memohon perkenan memulakan istiadat.

Istiadat diteruskan dengan Azrin menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda sebelum menerima penzahiran sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 dengan gelaran Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman.

Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz bertitah penzahiran itu merupakan kesinambungan kepimpinan adat serta mencerminkan kelangsungan warisan dan tradisi yang sekian lama menjadi pegangan masyarakat Luak Jelebu.

Baginda yakin Undang Luak Jelebu itu akan menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan kebijaksanaan, selain sentiasa menginsafi amanah yang dipikul.

“Keharmonian adat serta kesejahteraan anak buah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, manakala setiap perselisihan atau permasalahan perlu ditangani secara adil, matang dan berhemah.

“Dalam menjalankan tugas, Orang Kaya Beta hendaklah berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta ketetapan dan peraturan adat yang berkuat kuasa di Jelebu,” titah baginda pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-17 di Istana Besar Seri Menanti hari ini.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-'Abidin.

Istiadat penuh tradisi itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Tuanku Muhriz turut menegaskan kepentingan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta hubungan yang sentiasa terpelihara antara kepimpinan adat dengan baginda dan istana.

Baginda bertitah persefahaman dipupuk melalui sikap saling menghormati, kepercayaan dan semangat muafakat akan menjadi landasan kukuh bagi mempertahankan keluhuran adat, memperteguh institusi pemerintahan beraja dan menjamin kesejahteraan negeri untuk generasi kini dan akan datang.

“Beta menyeru seluruh masyarakat di Luak Jelebu, Luak-Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung supaya terus memberikan sokongan kepada kepimpinan adat dalam memastikan urusan adat dilaksanakan dengan teratur, sempurna dan penuh rasa tanggungjawab.

“Beta berharap agar hubungan persaudaraan sentiasa dieratkan, perbezaan diselesaikan melalui perundingan dan semangat kebersamaan terus diperkukuh,” titah baginda.

Azrin, 51, mempunyai pengalaman selama 26 tahun di Telekom Malaysia dan kini memegang jawatan Pengurus Pengembangan Strategik dan Pembangunan Ekosistem Perniagaan, Unit Consumer, Wilayah Pantai Timur.

Beliau memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta sedang melanjutkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).

Intipati
  • Tuanku Muhriz menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17.
  • Azrin menerima gelaran Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman dalam istiadat di Seri Menanti.
  • Tuanku Muhriz menekankan keharmonian adat, kesetiaan dan kesejahteraan anak buah sebagai keutamaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan