Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bagasi Hilang Atau Rosak? Ini Panduan Lengkap Untuk Anda
Setiap kali menaiki pesawat, antara perkara yang paling dinanti selepas mendarat ialah saat melihat beg sendiri keluar di tali sawat.
Namun, bayangkan rasa cemas apabila beg yang ditunggu-tunggu tidak juga kelihatan atau lebih malang, muncul dalam keadaan koyak dan rosak.
Situasi seperti ini bukan sahaja boleh merosakkan mood perjalanan malah boleh menimbulkan panik terutama jika anda tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya.
Masalah bagasi seperti hilang, lewat tiba atau rosak sebenarnya bukan perkara luar biasa dalam dunia penerbangan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada anda kerap terbang ke luar negara atau sekadar bercuti hujung minggu di destinasi tempatan.
Apa yang penting, anda perlu tahu hak sebagai penumpang dan langkah yang betul untuk mengurus keadaan tersebut supaya tidak menanggung kerugian atau tekanan yang berlebihan.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan panduan lengkap dan mudah difahami tentang apa yang perlu anda lakukan sekiranya berdepan dengan masalah bagasi hilang atau rosak dari saat ia tidak muncul di tali sawat hingga kepada cara membuat laporan dan tuntutan pampasan.
Jadi sebelum panik, tarik nafas dan baca langkah-langkah berikut agar anda bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan tenang dan bijak.
Langkah paling penting tetapi sering diabaikan ialah memeriksa beg sebaik sahaja ia diambil dari tali sawat di kawasan tuntutan bagasi.
Jangan terus keluar dari kawasan tersebut tanpa memastikan beg anda dalam keadaan sempurna. Periksa zip, roda, pemegang, kunci dan permukaan luar beg.
Kadang-kadang kerosakan kecil seperti zip pecah atau bahagian tepi yang tercabut hanya disedari selepas tiba di hotel. Ketika itu laporan berkenaan kerosakan mungkin sudah tidak diterima.
Bandingkan juga nombor tag bagasi dengan tag yang dilekatkan pada pas masuk anda bagi memastikan tiada pertukaran beg berlaku. Langkah ini mudah tetapi mampu menjimatkan masa dan tenaga sekiranya ada kerosakan.
2. Jika bagasi rosak
Sekiranya anda mendapati beg keluar dalam keadaan rosak sama ada pecah, koyak, roda patah atau pemegang tertanggal, jangan panik dan jangan terus meninggalkan kawasan ketibaan.
Terus ke kaunter “Baggage Services” atau “Lost & Found” milik syarikat penerbangan anda. Di situ, anda perlu menunjukkan tiket penerbangan, tag bagasi dan seterusnya mengisi borang yang dikenali sebagai Property Irregularity Report (PIR).
Borang ini penting kerana ia menjadi bukti rasmi bahawa kerosakan berlaku semasa proses penerbangan, bukan selepas itu.
Syarikat penerbangan biasanya akan menawarkan beberapa bentuk penyelesaian seperti membaiki bagasi secara percuma, menggantikan dengan beg baru atau memberikan pampasan tunai mengikut tahap kerosakan.
Jangan lupa ambil gambar kerosakan sebagai bukti tambahan dan simpan sebarang resit jika anda membaiki beg sendiri kerana ia boleh digunakan untuk tuntutan semula.
Selain itu, kelewatan beg juga antara situasi yang kerap berlaku. Terutamanya bagi penerbangan sambungan atau transit. Kadang-kadang beg tertinggal di lapangan terbang asal atau dihantar ke destinasi yang salah.
Jika ini berlaku, laporkan segera kepada kaunter perkhidmatan bagasi atau syarikat penerbangan sebelum anda keluar dari balai ketibaan.
Isi laporan PIR dan dapatkan salinan yang mengandungi nombor rujukan rasmi. Berikan alamat penginapan atau nombor telefon yang boleh dihubungi agar syarikat penerbangan dapat menghantar beg terus ke tempat anda apabila ia ditemui.
Dalam kebanyakan kes, beg akan tiba dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Menariknya sesetengah syarikat penerbangan juga menyediakan elaun sementara untuk penumpang membeli keperluan asas seperti pakaian atau produk kebersihan diri sementara menunggu beg tiba.
Jadi pastikan anda menyimpan semua resit pembelian kerana ia boleh dituntut semula sama ada melalui syarikat penerbangan atau insurans perjalanan anda.
4. Jika bagasi hilang
Jika selepas beberapa hari tiada khabar berita tentang beg anda, ini bermakna syarikat penerbangan masih dalam proses menjejaki keberadaannya.
Namun, sekiranya beg masih tidak ditemui selepas 21 hari, ia akan dianggap hilang secara rasmi. Dalam keadaan ini, anda berhak menuntut pampasan penuh daripada syarikat penerbangan berdasarkan nilai semasa dan kandungan bagasi tertakluk kepada peraturan antarabangsa seperti Montreal Convention.
Proses ini mungkin memerlukan masa. Jadi simpan semua dokumen penting termasuk salinan laporan PIR, tag bagasi dan tiket penerbangan.
Jika anda mempunyai insurans perjalanan, buat tuntutan secara serentak kepada pihak insurans kerana biasanya mereka akan menawarkan bayaran tambahan sebagai pampasan atas kehilangan tersebut.
Dalam apa jua keadaan sama ada bagasi rosak, lewat atau hilang, perkara paling penting ialah simpan semua dokumen berkaitan.
Ini termasuk tiket penerbangan, tag bagasi asal, salinan laporan PIR, resit pembelian sementara serta sebarang bukti komunikasi dengan pihak syarikat penerbangan.
Dokumen-dokumen ini akan memperkukuhkan tuntutan anda dan mempercepatkan proses pampasan. Ramai penumpang terlepas pandang hal ini, Keadaan ini akan menyebabkan kes menjadi rumit apabila bukti tidak lengkap.
6. Langkah pencegahan sebelum berlepas
Langkah yang terbaik ialah bersiap sedia sebelum masalah berlaku. Letakkan tag nama dan nombor telefon yang jelas pada setiap bagasi, dan tambahkan tanda pengenalan khas seperti reben berwarna, sticker atau sarung bagasi supaya mudah dikenali di tali sawat.
Elakkan meletakkan barangan berharga seperti komputer riba, wang tunai, dokumen penting atau barang kemas dalam bagasi daftar masuk. Sebaiknya simpan barang penting dalam bagasi kabin yang anda bawa bersama.
Sebelum mendaftar masuk, ambil gambar bagasi anda sebagai bukti keadaan asalnya. Langkah kecil ini dapat memudahkan proses tuntutan nanti.
Paling penting, pastikan anda mempunyai insurans perjalanan yang melindungi kehilangan atau kerosakan bagasi. Ia mungkin kelihatan remeh tetapi ketika musibah berlaku, perlindungan ini amat membantu.
Oleh itu, masalah bagasi hilang atau rosak memang boleh mencacatkan pengalaman perjalanan tetapi dengan tindakan yang cepat dan betul, anda masih boleh mengurangkan tekanan dan menuntut hak anda dengan sewajarnya.
Kuncinya ialah jangan panik, lapor segera dan simpan semua bukti. Ingat, setiap penumpang mempunyai hak untuk dilindungi.
Setiap langkah yang diambil dengan tenang mampu memastikan anda tidak pulang dengan tangan kosong walaupun beg anda mungkin tidak sampai bersama.
Sumber : support.airasia, caam.gov.my
BACA : Bau Pelik & Hapak Dalam Kereta? Jangan Abaikan, Ini Maksud Sebenarnya