Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebahagian roket SpaceX seberat empat tan dipercayai terhempas secara tidak sengaja di permukaan bulan pada Rabu.
Perlanggaran tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada bumi, namun dijangka menghasilkan sebuah kawah di permukaan bulan.
Menurut AFP, walaupun masih belum ada pengesahan rasmi bahawa bahagian atas roket Falcon 9 itu telah menghentam permukaan bulan, ia dijangka berlaku kira-kira pukul 6.35 pagi GMT.
NASA bersama prob Lunar Reconnaissance Orbiter dan pengorbit Pathfinder Lunar Orbiter milik Korea Selatan merancang untuk merakam imej lokasi berkenaan selepas perlanggaran.
Bagaimanapun, maklumat tersebut mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diterima.
Selain itu, para saintis dan peminat astronomi amatur turut menantikan peluang untuk menyaksikan kepulan serpihan dan debu yang diterangi cahaya matahari akibat perlanggaran tersebut.

“Ada kemungkinan individu yang mempunyai teleskop dapat melihat kepulan bahan yang terhambur akibat hentaman itu,” kata Benjamin Fernando dari Makmal Kebangsaan Los Alamos di New Mexico.
Beliau merupakan penulis utama sebuah kajian terbaharu mengenai perlanggaran yang dijangkakan itu.
“Masih belum jelas sejauh mana terang kepulan tersebut dan itu merupakan antara sebab kami mahu mengkaji kejadian ini,” katanya kepada AFP sebelum perlanggaran berlaku.
Dengan andaian semua bahan api telah habis digunakan, penulis kajian menganggarkan kapal angkasa itu mempunyai berat kira-kira 8,800 paun atau 4,000 kilogram.
Ia dijangka menghentam hemisfera utara bulan berhampiran Kawah Einstein pada kelajuan kira-kira 5,400 batu sejam atau 8,690 kilometer sejam.
Jurucakap NASA, Jimi Rusell dalam satu kenyataan berkata bahawa ia tidak membawa bahaya kepada bumi.
“NASA akan terus menjejaki penggalak itu bagi tujuan latihan, selain memerhatikan lokasi hentaman untuk tujuan saintifik pada masa akan datang," katanya.
Roket Falcon 9 yang dihasilkan oleh syarikat SpaceX milik Elon Musk dilancarkan pada Januari 2025 dengan membawa dua pendarat bulan.
Penggalak roket itu kembali ke bumi, namun bahagian atasnya kekal di angkasa untuk membawa kedua-dua pendarat tersebut meneruskan perjalanan.
Secara umumnya, bagi misi bertenaga tinggi seperti itu, SpaceX akan melakukan satu manuver bagi memastikan bahagian kedua roket berada dalam keadaan selamat dan mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan.
Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Program Sains NASA dan Dragon di SpaceX, Julianna Scheiman dalam satu sidang media pada Isnin.

“Kami telah melakukannya, tetapi apa yang berlaku pada dasarnya ialah gabungan aktiviti suria dan daya graviti telah menyebabkan roket itu bergerak menuju ke arah bulan,” katanya.
Seperti ramai saintis lain, Scheiman turut mengakui sangat teruja untuk melihat kesan perlanggaran tersebut.
Untuk pengetahuan, bulan sering menerima hentaman daripada serpihan angkasa termasuk meteoroid, manakala perlanggaran melibatkan objek buatan manusia lebih jarang berlaku.
Pada tahun 1970-an, agensi angkasa Amerika Syarikat itu pernah melakukan perlanggaran secara sengaja menerusi program Apollo bagi mengumpul data seismik.
Bahagian roket tersebut hanyalah salah satu daripada banyak objek yang dikategorikan sebagai sampah angkasa dan sedang mengorbit Bumi.
Agensi Angkasa Eropah pada penghujung Julai lalu memaklumkan bahawa terdapat lebih 46,000 serpihan angkasa dengan jumlah berat keseluruhan kira-kira 17,000 tan yang kini berada di orbit.
Sesetengah pakar memberi amaran bahawa pengumpulan sampah angkasa yang terlalu banyak di sekitar bumi boleh mencetuskan tindak balas berantai perlanggaran berbahaya yang dikenali sebagai “Sindrom Kessler”.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan