Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tular Kisah Malaysia Jadi 'Penyelamat' SpaceX Milik Elon Musk

malaysia SpaceX
Gambar: AFP

Tular Kisah Malaysia Jadi 'Penyelamat' SpaceX Milik Elon Musk

Baru-baru ini, satu perkongsian di platform X mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan kisah yang mungkin ramai tak tahu mengenai peranan Malaysia dalam membantu syarikat aeroangkasa terkenal dunia, SpaceX, bertahan ketika berada di ambang kegagalan.

Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna X @Zac_labs, mendakwa Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan SpaceX terus bertahan pada fasa awal penubuhannya, ketika syarikat itu berdepan krisis kewangan yang serius.

Menurut perkongsian tersebut, tiga pelancaran pertama roket Falcon 1 antara tahun 2006 hingga 2008 semuanya berakhir dengan kegagalan.

Situasi itu menyebabkan SpaceX hampir muflis, malah dikatakan ada kakitangan syarikat yang menangis selepas kegagalan pelancaran ketiga kerana bimbang syarikat itu tidak mampu meneruskan operasi.

Harapan kembali menyinar apabila pelancaran keempat Falcon 1 pada September 2008 berjaya memasuki orbit dengan membawa muatan ujian dikenali sebagai RatSat.

Bagaimanapun, kejayaan itu masih belum cukup untuk menyelamatkan syarikat kerana SpaceX belum memperoleh pelanggan komersial yang sanggup menggunakan perkhidmatan mereka.

Malaysia 'penyelamat' SpaceX?

Di sinilah Malaysia dikatakan muncul sebagai 'penyelamat'.

Menurut perkongsian itu, Malaysia ketika itu sedang mencari pilihan yang boleh dipercayai serta lebih menjimatkan kos untuk melancarkan satelit RazakSAT ke orbit khatulistiwa rendah.

Usaha tersebut dikatakan bermula apabila Dr. Ahmad Sabirin menghubungi Elon Musk pada Hari Krismas tahun 2003 bagi membincangkan kemungkinan menggunakan perkhidmatan SpaceX untuk melancarkan satelit negara.

Sumber: X @Zac_labs

Pertemuan antara kedua-dua pihak kemudian berlangsung di El Segundo, California, sebelum beberapa siri perbincangan membawa kepada persetujuan untuk melancarkan RazakSAT menggunakan roket Falcon 1 dari Pulau Omelek, di Atol Kwajalein.

Pada 14 Julai 2009, RazakSAT berjaya dilancarkan menerusi misi kelima dan terakhir Falcon 1. Pelancaran itu bukan sahaja menjadi penerbangan terakhir roket berkenaan, malah turut mencatat sejarah sebagai pelancaran komersial pertama SpaceX.

Lebih membanggakan, Jalur Gemilang turut dipaparkan pada badan roket Falcon 1 sebagai simbol kerjasama antara Malaysia dan SpaceX.

Perkongsian itu turut mendakwa bayaran daripada projek pelancaran RazakSAT membantu SpaceX membayar gaji pekerja ketika syarikat berdepan tempoh paling sukar dalam sejarahnya.

"Bayaran daripada projek pelancaran RazakSAT dikatakan membantu SpaceX membayar gaji pekerjanya ketika syarikat itu sedang melalui detik paling mencabar. Pada masa sama, Malaysia berjaya meletakkan satelitnya di orbit.

"Satu kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," tulis perkongsian itu.

Perkongsian tersebut turut berseloroh bahawa sebagai mengenang jasa itu, Elon Musk wajar berkunjung ke Malaysia suatu hari nanti.

"Sebagai mengenang sejarah itu, mungkin sudah tiba masanya Elon Musk singgah ke Malaysia.

"Minta seseorang pegangkan segelas teh tariknya untuk satu lagi sesi berjabat tangan bersama Dr. Ahmad Sabirin, seperti yang pernah berlaku pada tahun 2004," tambahnya.

Elon Musk 'masuk' ruangan komen

Apa yang lebih menarik perhatian warga maya ialah perkongsian berkenaan turut menerima reaksi daripada Elon Musk sendiri.

"True," tulis Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla itu, sekali gus dilihat mengesahkan dakwaan bahawa Malaysia sememangnya memainkan peranan penting dalam sejarah awal kejayaan SpaceX.