Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bakal Jadi Rakyat Pakistan Pertama Ke Orbit Bumi, Ini Kisah Muhammad Zeeshan Ali

zeeshan
Kredit: AFP

Kerjaya Muhammad Zeeshan Ali selama ini banyak tertumpu kepada dunia penerbangan apabila beliau berkhidmat sebagai juruterbang Tentera Udara Pakistan.

Iklan

Namun, untuk melayakkan diri menaiki kapal angkasa China, lelaki berusia 40 tahun itu perlu mempelajari pelbagai kemahiran baharu termasuk cara bekerja dalam keadaan tanpa graviti, mengendalikan situasi kecemasan di orbit serta berkomunikasi menggunakan bahasa Mandarin.

Pada Rabu, 25 November, Ali dijadualkan mencipta sejarah sebagai rakyat Pakistan pertama mengorbit Bumi dan angkasawan asing pertama yang berkunjung ke stesen angkasa Tiangong milik China.

Kredit: X Pakistan Embassy China

Sepanjang berada di stesen angkasa itu selama kira kira seminggu, beliau akan menjalankan beberapa eksperimen saintifik, termasuk penyelidikan yang dihasilkan oleh universiti di Pakistan.

Kapal angkasa Shenzhou 24 dijadualkan berlepas menggunakan roket Long March 2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada pukul 8.18 pagi waktu Beijing, bersamaan 5.18 pagi di Pakistan dan 4.18 pagi di Emiriah Arab Bersatu.

Dalam misi tersebut, Ali akan bertugas sebagai pakar muatan bersama komander misi, Tang Hongbo dan jurutera penerbangan, Wu Yi.

Melalui Tiga Peringkat Saringan

Sebelum dipilih, Ali bersama seorang lagi juruterbang Pakistan, Khurram Daud, perlu melalui tiga peringkat saringan yang menilai tahap kesihatan, ketahanan psikologi serta keupayaan menghadapi tekanan fizikal ketika pelancaran kapal angkasa.

Kedua dua mereka dipilih pada April untuk menjalani latihan di China. Bagaimanapun, Ali berjaya mendapatkan tempat dalam misi Shenzhou 24, manakala Daud ditetapkan sebagai calon simpanan.

Di Pusat Angkasawan China di Beijing, Ali menjalani latihan berkaitan sistem kapal angkasa, prosedur kecemasan dan tugasan yang perlu dilaksanakan sepanjang berada di stesen Tiangong.

Beliau turut menjalani latihan menggunakan mesin emparan bagi membiasakan diri dengan daya tekanan yang akan dialami ketika pelancaran. Selain itu, latihan bersama kru China membantunya mempelajari cara mengendalikan masalah teknikal dan menyelaraskan tugasan di dalam kapal angkasa.

Penguasaan bahasa Mandarin juga menjadi sebahagian daripada persediaan penting Ali. Beliau perlu memahami arahan serta istilah teknikal yang digunakan oleh rakan kru sepanjang penerbangan.

Ketika sesi taklimat sebelum pelancaran, Ali turut menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin dan berterima kasih kepada kerajaan China kerana membantunya merealisasikan impian untuk ke angkasa lepas.

Anggap Misi Sebagai Permulaan Kerjasama

Dalam temu bual bersama CGTN sebelum pelancaran, Ali menyifatkan misi Shenzhou 24 bukan sebagai garisan penamat, sebaliknya satu landasan permulaan bagi memperkukuh kerjasama angkasa lepas antara China dan Pakistan.

Beliau berharap kerjasama itu dapat berkembang daripada penglibatan seorang angkasawan dalam satu penerbangan kepada beberapa misi bersama pada masa hadapan, termasuk perjalanan ke Bulan, Marikh dan destinasi lain di angkasa lepas.

Ali turut berkongsi perkara yang ingin dilihatnya apabila berpeluang menyaksikan Bumi dari orbit. Beliau memberitahu keluarganya bahawa perkara pertama yang ingin dicari ialah cahaya dari tanah airnya.

Malah, beliau turut menitipkan pesanan kepada kanak kanak di Pakistan yang mengikuti perjalanan bersejarah tersebut.

“Kepada setiap kanak kanak yang sedang menyaksikan saya ketika berada di orbit, pandanglah ke langit dan ingat bahawa saya berada di atas sana bersama impian anda,” katanya.

Jalankan Eksperimen Penyelidikan Universiti Pakistan

Sepanjang berada di Tiangong, Ali akan memasang peralatan dan sampel, menjalankan eksperimen mengikut jadual serta menyertai aktiviti rutin kru.

Menurut laporan tersebut, universiti di Pakistan telah mengemukakan lebih 300 cadangan penyelidikan kepada Suruhanjaya Penyelidikan Angkasa Lepas dan Atmosfera Atas Pakistan atau Suparco.

Daripada jumlah itu, empat eksperimen bioteknologi Pakistan telah dipilih untuk dilaksanakan. Penyelidikan berkenaan mempunyai kaitan dengan isu keselamatan makanan dan perubahan iklim.

Misi tersebut turut merangkumi satu eksperimen yang melibatkan mikroorganisma fotosintetik.

Tempoh Ali berada di stesen angkasa itu lebih singkat berbanding tempoh penugasan biasa kru China yang lazimnya mengambil masa enam bulan.

Selepas kira kira seminggu, Ali dijangka pulang menggunakan kapal angkasa Shenzhou 23 bersama dua angkasawan, Lai Ka ying dan Zhang Zhiyuan, yang kini berada di Tiangong.

Seorang lagi anggota kru mereka, Zhu Yangzhu, akan terus berada di stesen angkasa itu bagi melengkapkan tempoh setahun di orbit.

Membuka Peluang Baharu Untuk Penyelidikan Pakistan

Sebelum ini, Namira Salim mencipta sejarah sebagai rakyat Pakistan pertama yang sampai ke angkasa lepas menerusi penerbangan suborbit Virgin Galactic pada Oktober 2023.

Bagaimanapun, misi Ali membawa pencapaian berbeza apabila beliau bakal menjadi rakyat Pakistan pertama mengorbit Bumi. Penglibatannya juga membuka peluang kepada penyelidik negara itu untuk melihat hasil eksperimen yang dibangunkan di makmal tempatan dilaksanakan di sebuah stesen angkasa.

Pada 23 April lalu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengadakan pertemuan dengan Ali dan Daud di Islamabad selepas kedua dua mereka terpilih menjalani latihan di China.

Beliau menyifatkan misi berkenaan sebagai satu kebanggaan buat seluruh rakyat Pakistan dan berharap ia dapat membuka lembaran baharu dalam bidang penyelidikan angkasa lepas negara itu.

Pertemuan tersebut turut dihadiri Duta Besar China ke Pakistan, Jiang Zaidong. Sharif juga menyambut baik peluang untuk memperkukuh kerjasama antara kedua dua negara.

Kerjasama berkenaan mula diperkukuh pada Februari 2025 apabila Suparco dan Agensi Angkasa Lepas Berawak China menandatangani perjanjian bagi melatih dua calon dari Pakistan sebelum memilih seorang daripada mereka untuk menyertai misi ke Tiangong.

Penerbangan Ali menjadi satu lagi perkembangan penting dalam hubungan kedua dua negara yang sebelum ini turut bekerjasama dalam bidang satelit dan teknologi angkasa lepas.

Bagi China pula, misi tersebut bakal menjadi kali pertama program penerbangan angkasa lepas berawak negara itu membawa angkasawan dari negara asing.

Intipati
  • Muhammad Zeeshan Ali dijadualkan menjadi rakyat Pakistan pertama mengorbit Bumi pada 25 November.
  • Beliau menjalani latihan di China, termasuk prosedur kecemasan, daya pelancaran dan bahasa Mandarin.
  • Ali akan menjalankan eksperimen bioteknologi Pakistan berkaitan keselamatan makanan dan perubahan iklim.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan