Penghantaran baki bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijadualkan bermula 3 September.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, isu kelewatan bekalan baja itu akan diselesaikan dengan segera.
Baki bekalan Baja 3
Menurutnya, beliau telah mengemukakan surat kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu bagi memohon agar perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd bagi pembekalan berkenaan ditamatkan susulan kelewatan yang berlaku.
“Pada masa yang sama, saya telah mencadangkan supaya Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd, anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas.
“Sukacita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri telah bersetuju dengan permohonan tersebut.
“Sehubungan itu, penghantaran baki Baja 3 kepada pesawah yang terjejas akan bermula pada 3 September 2026 dan keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, beliau telah mengarahkan MADA supaya proses tersebut dipantau secara rapi sehingga bekalan benar-benar sampai kepada pesawah.
“Tiada ruang untuk kelewatan berulang apabila ia melibatkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah,” ujarnya.
KPKM juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran sektor pengeluaran makanan negara.
