Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Teknologi Pertanian Perlu Tingkatkan Hasil, Pendapatan Petani - Mohamad Sabu

TEKNOLOGI
Kredit: Facebook Mohamad Sabu

Teknologi dalam sektor pertanian hanya boleh dianggap berjaya sekiranya penggunaannya benar-benar mampu meningkatkan hasil pengeluaran serta menambah pendapatan petani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara pendekatan yang dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan Makanan APEC ke-11 di Hangzhou, China, yang turut memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam sektor pertanian.

Menurutnya, kecanggihan sesebuah sistem bukan ukuran utama kejayaan, sebaliknya manfaat yang diterima golongan petani dan jaminan bekalan makanan kepada rakyat.

“AI penting, teknologi penting tapi akhirnya, ukuran kejayaan bukan pada secanggih mana sistem kita.

“Ukuran sebenarnya ialah hasil petani bertambah, pendapatan mereka meningkat dan makanan rakyat sentiasa cukup. Itu baru teknologi yang ada guna,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook malam ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau turut berkongsi komitmen Malaysia dalam memperkasa sektor pertanian negara menerusi peluasan penggunaan teknologi.

Antaranya melalui Program Sawah Padi Pintar Berskala Besar (SMART SBB), yang kini melibatkan seramai 18,650 pesawah di 92 lokasi membabitkan lebih 46,500 hektar kawasan sawah.

Jelasnya, penggunaan mekanisasi, sistem pengurusan yang lebih tersusun serta teknologi bersesuaian membolehkan sesetengah kawasan mencapai hasil sekitar enam hingga tujuh tan metrik sehektar.

“Penggunaan mekanisasi, pengurusan yang lebih tersusun dan teknologi membolehkan sesetengah kawasan mencapai hasil sekitar enam hingga tujuh tan metrik sehektar,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan penggunaan teknologi yang tepat serta pengurusan yang baik mampu membantu meningkatkan hasil pengeluaran petani.

Mohamad turut berkongsi pengalaman peribadinya mempraktikkan teknologi dalam bidang pertanian menerusi ternakan ikan tilapia menggunakan sistem bioflok.

Menurutnya, sistem berkenaan mampu menghasilkan kira-kira 450 kilogram ikan bagi setiap tangki berdiameter enam meter.

“Kalau kita hendak buat dasar untuk petani dan penternak, sekali-sekala kena turun dan rasa sendiri kerja mereka, baru kita tahu teknologi mana yang betul-betul membantu,” ujarnya.

Katanya, pengalaman turun sendiri ke lapangan penting bagi memastikan dasar serta teknologi yang diperkenalkan benar-benar memenuhi keperluan golongan petani dan penternak.

Intipati
  • Mohamad Sabu berkata kejayaan teknologi pertanian diukur melalui hasil dan pendapatan petani.
  • SMART SBB kini melibatkan 18,650 pesawah di 92 lokasi seluruh negara.
  • Beliau berkata sistem bioflok mampu menghasilkan kira-kira 450 kilogram tilapia setiap tangki.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan