Kalau selalu ‘park’ kereta di kawasan terbuka, mesti pernah rasa bahang panas sebaik saja buka pintu kereta, terutama ketika cuaca sedang terik.
Oleh itu, ramai pemandu masuk sahaja ke dalam kereta, perkara pertama selepas menghidupkan enjin kenderaan adalah mengaktifkan aircond.
Namun, perasan tak sewaktu anda melakukan cara ini, aircond di dalam kereta seperti lambat sejuk malah bahang kereta seolah-olah masih ada di dalam kereta walaupun ia dipasang pada tahap maksimum?
Sebenarnya, ada beberapa cara mudah yang boleh dilakukan untuk membantu mengeluarkan haba panas dalam kereta dengan lebih cepat sebelum nak mulakan perjalanan.
Sehubungan itu, SK hari ini akan berkongsikan tip bagaimana nak buatkan bahang dalam kereta anda hilang dengan cepat dan aircond pun sejuk.
Cara Sejukkan Kereta, Bahang Keluar
Menurut perkongsian video pemilik akaun TikTok @altimatsaujana , terdapat dua cara untuk menghilangkan bahang dalam kereta kerana sesetengah kereta sudah menggunakan panel aircond digital dan ada yang masih menggunakan panel aircond manual.
Panel Aircond Manual
Bagi kereta yang masih menggunakan panel penghawa dingin manual, jangan terus hidupkan aircond sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.
Sebaliknya, cari tombol atau suis yang mempunyai simbol aliran udara dari luar masuk ke dalam kabin. Tetapkan kepada mod udara luar terlebih dahulu supaya udara panas yang terperangkap di dalam kereta dapat keluar dan digantikan dengan udara dari luar.
Biarkan beberapa minit sehingga bahang dalam kabin mula berkurangan.

Selepas itu, barulah hidupkan penghawa dingin dan tukar semula kepada mod kitaran udara dalaman (recirculation) supaya udara sejuk terus beredar di dalam kabin.
Panel Aircond Digital
Untuk kereta yang menggunakan panel penghawa dingin digital pula, langkahnya hampir sama.
Pastikan penghawa dingin belum dihidupkan terlebih dahulu. Kemudian, pilih mod yang membenarkan udara dari luar masuk ke dalam kabin.
Biarkan seketika sehingga bahang panas dalam kereta semakin berkurangan. Selepas itu, hidupkan penghawa dingin dan aktifkan semula mod kitaran udara dalaman.

Dengan cara ini, udara panas yang terperangkap dalam kabin dapat dikeluarkan terlebih dahulu sebelum penghawa dingin digunakan untuk menyejukkan ruang dalam kereta.
Jadi, tak adalah baru masuk kereta terus terasa macam ‘dipanggang’ dek bahang panas. Boleh cuba cara ini terutama kalau kereta selalu diparkir di kawasan terbuka.

