Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha menyuntik semangat pemain untuk memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
Menurut beliau, Malaysia sudah 20 tahun menanti emas badminton di Sukan Asia selepas kali terakhir meraihnya menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki pada edisi Doha 2006.
“Sukan Asia pula tinggal beberapa hari lagi. Sudah 20 tahun kita menunggu emas badminton. BAM akan mempertimbangkan insentif khas sekiranya pemain kita berjaya membawa pulang emas dari Aichi-Nagoya.
“Kami buat apa yang perlu untuk beri pemain kita peluang terbaik untuk berjaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata BAM turut memutuskan untuk menaikkan 100 peratus hadiah wang tunai bagi semua kejohanan kebangsaan mulai tahun depan, termasuk kejohanan peringkat remaja.
Katanya, langkah itu bertujuan memberikan lebih banyak insentif kepada pemain selain menjadikan kejohanan tempatan lebih kompetitif.
“Hadiah berganda, semangat pun kena berganda… Kami juga sedang mencari Pengarah Sains Sukan dan Perubatan sepenuh masa supaya pemain mendapat sokongan yang lebih menyeluruh, daripada prestasi dan pemulihan hingga penjagaan kesihatan,” katanya.
Bagi pembangunan bakat pula, pemain berusia 16 tahun ke atas yang layak dalam acara perseorangan dan beregu kini perlu memilih satu laluan untuk diberi fokus sepenuhnya.
Menurut Tengku Zafrul, pendekatan itu pada masa sama dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemain lain.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Malaysia meraih pingat gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki.
Badminton merupakan antara sukan yang berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia yang menyasarkan enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada temasya Aichi-Nagoya 2026.

