Pihak berkuasa Gaza pada Rabu memaklumkan sekurang-kurangnya 20 orang termasuk lima bayi maut, manakala puluhan lagi masih hilang selepas sebuah bangunan pangsapuri runtuh akibat kerosakan yang dialami dalam serangan Israel sebelum ini, lapor AFP.
Bangunan enam tingkat yang mempunyai empat unit pangsapuri di setiap tingkat itu runtuh pada waktu malam dan menimpa kediaman dan khemah berhampiran di kawasan Tal al-Hawa, Bandar Gaza.
Wartawan AFP di lokasi melihat bangunan berkenaan musnah menjadi timbunan besar konkrit, sementara pasukan penyelamat yang memakai vest keselamatan menjalankan operasi mencari mangsa.
Jengkaut yang memaparkan bendera Mesir digunakan untuk mengalihkan runtuhan berhampiran deretan khemah penduduk yang kehilangan tempat tinggal, manakala anggota penyelamat dan sukarelawan membawa keluar mayat yang dibalut plastik putih.
Pangsapuri Runtuh Di Gaza

“Rakan dan jiran saya tinggal di bangunan ini. Saya datang untuk membantu rakan saya mengambil beberapa helai pakaian dan tilam. Sekarang dia tidak mempunyai tempat berlindung atau rumah,” kata Mohannad Al-Mashharawi kepada AFP.
Jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmoud Basal berkata bangunan itu mengalami kerosakan struktur akibat serangan Israel sebelum ini.
“Sebanyak 20 mayat telah dikeluarkan dari bawah runtuhan.
“Antara yang maut ialah lima bayi, manakala puluhan lagi masih terperangkap di bawah runtuhan,” tambahnya.
Menurut Basal, operasi menyelamat masih diteruskan tetapi pasukan penyelamat hanya bergantung kepada peralatan terhad dan perkakas asas kerana Israel didakwa menghalang kemasukan jentera berat serta peralatan yang diperlukan ke Gaza.
Beliau berkata bangunan itu pernah terkena serangan beberapa kali pada 2024 dan Mac 2025 sehingga menyebabkan penduduk diberi amaran supaya tidak kembali ke situ.
“Mereka tidak mempunyai pilihan lain. Apabila khemah mahupun rumah tidak tersedia, mereka terpaksa tinggal di bangunan yang retak dan rosak walaupun berdepan risiko runtuh,” katanya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebahagian besar bangunan di Gaza telah rosak atau musnah akibat serangan Israel.

Berdepan Risiko Serius
Dengan begitu ramai rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal selain kekurangan bahan binaan yang serius, ramai penduduk Gaza mengambil risiko dengan kembali mendiami bangunan yang tidak lagi stabil.
Penyelaras Kemanusiaan PBB bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Ramiz Alakbarov berkata beliau amat dukacita dengan laporan mengenai kejadian runtuhan bangunan itu pada Rabu.
“Tragedi hari ini menunjukkan risiko serius yang dihadapi keluarga yang tinggal di struktur seperti ini serta keperluan mendesak untuk menyediakan pilihan tempat perlindungan yang lebih selamat.
“Tiada sesiapa sepatutnya terpaksa mempertaruhkan nyawa hanya untuk mendapatkan tempat berlindung yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Agensi pertahanan awam Gaza mengenal pasti kira-kira 2,000 bangunan di wilayah itu yang dikatakan berisiko runtuh.
Pejabat media kerajaan Gaza pula membangkitkan isu kelewatan dalam usaha pembinaan semula wilayah berkenaan.
“Kami meletakkan tanggungjawab sepenuhnya dan secara langsung terhadap bencana yang menimpa rakyat Palestin ini kepada pendudukan Israel dan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Israel membenarkan kemasukan bantuan tambahan ke Gaza sejak gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat diumumkan pada Oktober 2025.
Bagaimanapun, Israel masih meneruskan serangan dan mengehadkan kemasukan beberapa jenis peralatan yang menurutnya turut berpotensi digunakan bagi tujuan ketenteraan.


