Angka kematian akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat di sepanjang sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,420 orang, manakala 5,649 lagi masih hilang, menurut angka rasmi terkini, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal berkata pada Khamis, jumlah kematian yang disahkan di negara itu meningkat kepada 1,377 orang, dengan 5,130 masih hilang berdasarkan kemas kini pada 11 pagi waktu tempatan.
Menurut pihak berkuasa, seramai 13,656 orang telah diselamatkan, manakala 333 mangsa menerima rawatan di 19 hospital dan 256 lagi dibenarkan keluar.
Bagi memastikan operasi mencari, menyelamat dan bantuan berjalan lancar, Nepal mengerahkan lebih 21,000 anggota keselamatan.
Jumlah itu merangkumi 8,885 anggota Tentera Nepal, 7,975 anggota polis dan 4,203 anggota Pasukan Polis Bersenjata.
Di pihak China pula, angka kematian kekal 43 orang, manakala 519 lagi masih hilang di Wilayah Autonomi Xizang di barat daya negara itu yang turut dikenali sebagai Tibet.
Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan korban bencana berkenaan kini mencecah 1,420 kematian, dengan 5,649 orang masih hilang.
Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal memaklumkan pada Khamis bahawa helikopter Tentera Nepal telah melakukan 1,348 penerbangan di kawasan terjejas.
Helikopter Pasukan Polis Bersenjata pula melakukan 272 penerbangan bagi menyokong operasi bantuan dan menyelamat di kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut.

