Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di sepanjang sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,372 orang, manakala 5,531 lagi masih hilang, 11 hari selepas bencana berkenaan melanda kawasan terbabit.
Di Nepal sahaja, angka kematian dilaporkan mencecah 1,341 orang, ketika ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung di pusat pemindahan sementara dalam keadaan serba kekurangan.
Menurut data rasmi, kira-kira 5,000 orang termasuk 589 warga asing masih belum dapat dikesan di Nepal.
Sementara itu, pihak berkuasa China melaporkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh, manakala 531 lagi masih hilang di Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China yang turut dikenali sebagai Tibet.
Berdasarkan angka rasmi Nepal dan China, seramai 850 warga asing masih belum dapat dikesan susulan bencana tersebut.
Ibu Mengandung, Bayi Berdepan Kesukaran Di Pusat Pemindahan
Dalam pada itu, ribuan ibu mengandung dan ibu yang baru melahirkan anak berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas serta ruang yang sesuai untuk menjaga bayi di pusat pemindahan sementara.
Menurut laporan The Kathmandu Post, kerosakan jalan raya dan jambatan akibat banjir serta tanah runtuh menyukarkan golongan berkenaan mendapatkan ruang mesra wanita untuk menyusukan bayi, makanan mengikut keperluan penyusuan serta akses kepada rawatan kecemasan sekiranya berlaku komplikasi ketika bersalin.
Keadaan di pusat pemindahan turut dikatakan kurang selesa berikutan kewujudan asap rokok, bau alkohol serta makanan dan air yang kurang bersih sehingga menjejaskan kesihatan ibu dan bayi.
Lebih membimbangkan, pusat pemindahan berkenaan turut tidak mempunyai kemudahan vaksinasi untuk kanak-kanak.
Seorang ibu baharu yang hanya mahu dikenali sebagai Pariyar berkata, mereka turut berdepan masalah mendapatkan makanan yang mencukupi dan pada waktu yang sepatutnya.
“Kami juga tidak mendapat makanan tepat pada waktunya. Makanan yang diterima juga tidak mencukupi,” katanya.
Pariyar terpaksa meninggalkan kediamannya di Trishuli selepas banjir melanda kawasan itu pada pagi 26 Ogos lalu dan kini tinggal bersama puluhan individu lain di sebuah pusat pemindahan.
Seorang lagi ibu, Sharmila Shrestha berkata, makanan khas untuk bayi tidak disediakan menyebabkan mereka terpaksa memberikan makanan orang dewasa kepada anak kecil.
Menurutnya, perkara paling diperlukan ketika ini ialah tempat perlindungan yang lebih selesa dan sesuai untuk keluarga.
“If only we had a decent, proper place to stay. That would bring some peace of mind,” katanya.
Shrestha bersama dua anaknya kini tidur di sebuah bilik darjah yang dijadikan pusat pemindahan sementara.
4,430 Ibu Mengandung Terjejas
Menurut anggaran Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), kira-kira 4,430 wanita mengandung kini berada di 15 kawasan perbandaran di Rasuwa, Nuwakot dan Dhading, iaitu antara daerah yang paling teruk terjejas akibat banjir.
Berdasarkan anggaran itu, kira-kira 500 kelahiran dijangka berlaku dalam tempoh sebulan akan datang, dengan sekitar 74 wanita berkemungkinan memerlukan rawatan obstetrik kecemasan.
Di Hospital Trishuli, wad bersalin kini berfungsi sebagai pusat rawatan kecemasan susulan bencana tersebut.
Ketua jabatan berkenaan, Basanti Pancha berkata, hospital itu telah mengendalikan sembilan kelahiran sejak banjir berlaku, namun pada masa sama perlu menangani pelbagai kes kesihatan lain.
Menurutnya, wanita turut mendapatkan rawatan akibat demam, pergerakan janin berkurangan dan jangkitan saluran kencing ketika mengandung.
Bekalan elektrik di hospital berkenaan juga tidak menentu, menyebabkan generator menjadi satu-satunya sumber tenaga untuk menjalankan pembedahan.
“Kalau sebelum ini, Kathmandu hanya mengambil masa dua jam perjalanan melalui jalan darat. Tetapi sekarang, tiada siapa tahu berapa jam diperlukan kerana tanah runtuh,” katanya.

