Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Banjir Nepal: PM Anwar Zahir Dukacita, Kerajaan Giat Kesan 54 Rakyat Malaysia Gagal Dihubungi

Banjir Nepal
Kredit: AFP

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita susulan bencana banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa, Nepal, selain memaklumkan kerajaan sedang giat menjalankan usaha mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi.

Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara itu serta agensi berkaitan dalam usaha mengesan dan mendapatkan perkembangan mengenai keadaan rakyat Malaysia terbabit.

Anwar berkata pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh juga sedang digerakkan bagi membantu memperkukuh penyelarasan di lapangan.

“Saya juga amat terkesan apabila dimaklumkan oleh Kementerian Luar (KLN) bahawa 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini dan usaha mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan mereka sedang giat dilakukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata Kerajaan MADANI menerusi KLN akan terus memantau perkembangan terkini dengan teliti serta menggembleng segala ikhtiar diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas diberi keutamaan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan agar kesemua mereka segera ditemui dalam keadaan selamat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.

Menurut laporan media, kejadian banjir kilat yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet semalam berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi.

Bencana itu menjejaskan rangkaian komunikasi serta memutuskan akses jalan raya utama yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan ibu negara, Kathmandu, sekali gus menyukarkan perhubungan dan pergerakan keluar masuk dari kawasan terjejas.

Sumber:BERNAMA