Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Banjir Nepal: Rakyat Malaysia Di Annapurna Base Camp Selamat

Banjir Nepal
Kredit: AFP

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kumpulan pendaki rakyat Malaysia yang berada di kawasan pendakian Annapurna Base Camp (ABC) dilaporkan berada dalam keadaan selamat berikutan kejadian banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet yang dipercayai berpunca daripada runtuhan glasier, semalam.

Pemandu pelancong bebas, Muhammad Hafizal Hamidon berkata kumpulan pendaki Malaysia yang berada di kawasan berkenaan tidak terjejas kerana lokasi kejadian terletak jauh dari laluan pendakian mereka.

“Setakat ini, alhamdulillah semua di sini dalam keadaan baik sahaja. Walaupun petang semalam hujan agak lebat, kami di sini selamat dan ramai lagi rakyat Malaysia berada di kawasan ini.

“Tempat kejadian itu terletak di kawasan Langtang Valley yang agak jauh dari laluan pendakian kami di ABC,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio hari ini.

Muhammad Hafizal berkata kumpulannya kini memasuki hari keempat pendakian menuju ke ABC.

Mengenai situasi semasa dan pergerakan keluar dari kawasan pendakian, beliau berkata laluan perhubungan darat untuk pulang ke bandar difahamkan mengalami sedikit gangguan susulan kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat daripada jurupandu dan penganjur pendakian, laluan untuk kami keluar mungkin terkesan sedikit tetapi dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari.

“Jalan raya dijangka pulih sebelum kami selesai menamatkan pendakian,” katanya sambil menambah kumpulannya dijadualkan pulang ke tanah air pada 31 Ogos ini.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Nepal supaya sentiasa mematuhi arahan jurupandu tempatan serta mengemas kini maklumat keberadaan mereka bagi mengelak kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga di tanah air.

Muhammad Hafizal turut menyarankan individu yang merancang untuk melakukan aktiviti pendakian di Nepal dalam masa terdekat agar menangguhkan hasrat berkenaan buat sementara waktu berikutan faktor cuaca yang tidak menentu dan berisiko tinggi.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini gagal dihubungi berikutan banjir dan kemusnahan yang dicetuskan oleh limpahan Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, Nepal, pada Rabu, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan maklumat itu berdasarkan perkembangan terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan yang lain.

Intipati
  • Pendaki Malaysia di Annapurna Base Camp dilaporkan selamat selepas banjir kilat Nepal-Tibet.
  • Muhammad Hafizal berkata lokasi kejadian di Langtang Valley jauh daripada laluan mereka.
  • Wisma Putra memaklumkan 55 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi di Nepal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan