Jumlah korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat yang melanda Nepal serta wilayah Tibet, China meningkat kepada 750 orang, manakala lebih 3,000 individu masih dilaporkan hilang, menurut angka terkini pihak berkuasa dan laporan media tempatan pada Ahad.
Menurut laporan Anadolu Ajansı (AA), di Nepal sahaja seramai 2,498 individu masih hilang, termasuk ratusan warga asing.
Sementara itu, pihak berkuasa China melaporkan 16 kematian dan 546 orang masih hilang di wilayah Tibet.
Di Nepal, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dipergiat bagi mengesan individu yang masih hilang, termasuk 933 pekerja projek tenaga hidroelektrik, 589 warga asing dan 127 rakyat Nepal yang melakukan perjalanan bersama pelancong asing.
Operasi berkenaan turut melibatkan penduduk dari beberapa daerah yang terjejas akibat bencana itu.
Hampir 20,000 anggota keselamatan dikerahkan dalam operasi SAR dan setakat ini berjaya menyelamatkan 8,186 mangsa.
Selain itu, operasi menggunakan helikopter turut membawa keluar 279 pekerja projek hidroelektrik dan 227 warga asing ke lokasi selamat.
Dalam pada itu, operasi bantuan turut digerakkan dengan penghantaran makanan serta barangan keperluan, penempatan pasukan perubatan dan pengagihan bantuan tunai kerajaan kepada mangsa terjejas.
Bencana berkenaan berlaku pada Rabu lalu di kawasan sempadan Nepal-China selepas kejadian runtuhan glasier dipercayai mencetuskan aliran deras air dan serpihan melalui lembah Himalaya.
Fenomena itu mengakibatkan kemusnahan penempatan serta kerosakan teruk terhadap jalan raya dan pelbagai infrastruktur utama.
Usaha mencari mangsa turut berdepan cabaran besar berikutan bentuk muka bumi yang berbukit, gunung curam serta gaung sempit di kawasan terjejas.
Pihak berkuasa Nepal kini turut mendapatkan bantuan kepakaran dalam operasi menyelamat di terowong, teknologi mengesan mangsa yang masih hidup, analisis forensik dan DNA serta peralatan untuk menguruskan jasad mangsa yang ditemukan.
Sebanyak 11 anggota pasukan peninjauan penyelamat terowong dari India juga telah tiba di Nepal bagi membantu operasi berkenaan.
Pada masa sama, pihak berkuasa turut memantau sebuah tasik baharu yang terbentuk di kawasan Himalaya selepas bencana itu, susulan kebimbangan ia boleh mencetuskan banjir susulan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa China memaklumkan paras tasik berkenaan telah menyusut dengan ketara dan kini hampir kering selepas airnya mengalir keluar secara semula jadi, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku limpahan besar dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Amerika Syarikat mengumumkan bantuan kemanusiaan bernilai lebih AS$3.6 juta (kira-kira RM15.1 juta) kepada Nepal pada Sabtu bagi membantu mangsa banjir, termasuk bantuan makanan kecemasan untuk sehingga 10,000 keluarga terjejas.
Pihak berkuasa Nepal turut berdepan kesukaran mengenal pasti jasad mangsa yang ditemukan berikutan jarak jauh jasad berkenaan dihanyutkan arus banjir serta keadaan kawasan yang masih sukar untuk diakses.
Keadaan itu menyebabkan proses pengecaman menjadi lebih mencabar, selain kemudahan bilik mayat di beberapa lokasi dilaporkan hampir mencapai kapasiti.

