Bank Rakyat Rai Pemenang Kempen Hulurkan Salam Dan Go Privilege, Hadiah Keseluruhan Lebih RM400k
Bank Rakyat meraikan lima pemenang utama Kempen Hulurkan Salam yang diadakan bersempena sambutan Ramadan dan Syawal lalu serta pemenang Kempen Go Privilege dengan hadiah keseluruhan lebih RM400,000.
Aminuddin Ayub, 46 tahun, seorang kontraktor dari Subang Jaya yang memenangi sebuah kereta mewah Jaecoo J7 berkata, beliau berasa terharu dan bersyukur selepas diumumkan sebagai salah seorang pemenang hadiah utama Kempen Hulurkan Salam Bank Rakyat.
“Selepas kenderaan saya terlibat dalam kemalangan pada tahun lalu, kemenangan ini saya anggap sebagai rezeki yang tidak disangka daripada Allah. Terima kasih Bank Rakyat atas peluang ini,” ujarnya pada majlis penyampaian hadiah yang dianjurkan di Menara Kembar Bank Rakyat baru-baru ini.

Siti Norshazwanie Ali, 32 tahun dari Kedah, yang memenangi sebuah kereta elektrik Proton e.MAS, turut meluahkan rasa syukur kerana memperoleh kereta idamannya, manakala Nor Asmah Harun, 42 tahun, pula membawa pulang hadiah motosikal elektrik BMW CE 04.
Sementara itu, Sarojini A/P V.K. Pillai, 71 tahun, dari Melaka yang memenangi hadiah motosikal Blueshark R1 Lite merakamkan penghargaannya kepada Bank Rakyat lebih lebih lagi dengan perayaan Deepavali yang akan diraikan tidak lama lagi. Selain itu, Noor Siti Hajar Mansor dari Kedah memenangi telefon pintar iPhone 16. Pada masa yang sama, Dato’ Sri Abd Shukor Ibrahim diumumkan sebagai pemenang Kempen Go Privilege yang menawarkan hadiah berupa wafer emas seberat 70 gram.

Bersempena ulang tahun Bank Rakyat yang ke-71, Bank Rakyat menyalurkan sumbangan hampir RM2.5 juta bagi manfaat lebih 3,200 penerima melalui inisiatif Jangkauan Komuniti serta pengiktirafan dan bantuan pendidikan di seluruh negara. Antaranya, inisiatif BR Communi7I dengan sumbangan berupa wang tunai dan makanan asas bernilai RM85,200 melibatkan golongan sasaran daripada pelbagai bangsa dan agama.

Manakala melalui Yayasan Bank Rakyat (YBR), seramai 300 graduan cemerlang lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana diraikan menerusi Anugerah Kecemerlangan Akademik (AKA) dengan jumlah insentif keseluruhan berjumlah RM300,000 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.
Di samping itu, Bantuan Awal Pengajian YBR turut disalurkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 juta untuk membantu 2,100 pelajar daripada 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara yang memerlukan sokongan kewangan bagi melanjutkan pengajian.
Pebagai kempen menarik turut diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, termasuk Kempen Gold Rush yang berlangsung dari 1 September hingga 30 November 2025 dengan tawaran hadiah bulanan bernilai keseluruhan RM66,000 kepada 48 pelanggan yang menggandakan pelaburan Akaun-i eGold menerusi Pembiayaan Peribadi-i. Kempen ini juga memberikan ganjaran rebat sebanyak 1 peratus bagi setiap pembelian emas menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat.

Selain itu, Bank Rakyat turut memperkenalkan rangkaian produk Kad Debit-i terbaharu iaitu Kad Debit-i Visa khusus untuk pemegang Akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang membolehkan pelanggan melakukan transaksi sehingga RM50,000 sehari. Program Hari Bersama Pelanggan Ar-Rahnu juga bakal diadakan pada 25 Oktober 2025 di seluruh cawangan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat dan cawangan Rakyat Management Services (RMS). Program ini menawarkan pelbagai perkhidmatan menarik seperti cucian emas, penilaian mutu barangan kemas, taklimat produk Ar-Rahnu serta majlis Hi-tea bersama pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, “Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama yang terus setia bersama Bank Rakyat selama ini. Pemenang kempen yang diraikan juga adalah bukti bahawa kesetiaan mereka sentiasa dihargai.”

“Justeru, kami menyeru agar lebih ramai pelanggan merebut peluang untuk menyertai kempen yang dijalankan dan terus memanfaatkan pelbagai ganjaran serta manfaat yang ditawarkan oleh Bank Rakyat,” ujar Ahmad Shahril.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman yang turut hadir semasa majlis tersebut berkata, “Penyaluran Bantuan Awal Pengajian YBR kepada 20 IPTA mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh akses kepada pendidikan tinggi, khususnya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.”
“Kami percaya, sokongan seperti ini akan membantu meringankan beban kewangan pelajar serta memberi motivasi kepada mereka untuk terus cemerlang dalam pengajian. Kerjasama strategik antara Kerajaan, industri dan institusi pendidikan sebegini amat penting dalam melahirkan modal insan berdaya saing serta menyokong agenda pembangunan pendidikan negara,” tambah beliau.