Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 14 tahun selepas didapati bersalah membunuh bayi lelakinya yang berusia tiga bulan dengan menggoncangnya secara kuat sehingga menyebabkan kecederaan otak yang membawa maut.
Menurut laporan BBC, Bradley Thomas, 23, didapati menyebabkan kecederaan parah terhadap anaknya, Emmerson Oak Thomas, pada awal pagi 5 Oktober tahun lalu sebelum bertindak berbohong mengenai punca kecederaan tersebut.
Mahkamah Teesside Crown Court diberitahu bahawa Thomas pada mulanya mendakwa bayinya cedera selepas terjatuh dari atas ribanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berkata kecederaan dialami bayi itu setanding impak kemalangan jalan raya atau jatuh dari bangunan tiga tingkat ke atas permukaan konkrit.
Sepanjang perbicaraan, mahkamah diberitahu Thomas, yang bekerja sebagai pencuci tingkap, bertanggungjawab memberi susu kepada anaknya pada waktu malam.
Menurut pendakwa raya, Emma Dowling, Thomas membawa bayi itu ke ruang tamu kira-kira pukul 2 pagi sebelum merakam video pada pukul 5 pagi yang menunjukkan Emmerson mengalami kesukaran bernafas dan sawan.
Katanya, Thomas bagaimanapun hanya menghubungi talian kecemasan 999 kira-kira 30 minit kemudian selepas mengejutkan pasangannya untuk mendapatkan bantuan.
Pihak pendakwaan berkata bayi tersebut ketika itu jelas berada dalam keadaan kritikal selepas digoncang dengan kuat, namun Thomas gagal mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.
Mahkamah turut diberitahu bahawa kecederaan dialami Emmerson terlalu serius sehingga kematiannya tidak dapat dielakkan.
Menurut pendakwaan, Thomas kemudian memberi keterangan palsu kepada petugas perubatan dan pihak berkuasa, sekali gus menjejaskan usaha untuk memberikan rawatan terbaik kepada mangsa.
Emmerson disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian di Royal Victoria Infirmary, Newcastle.
Sementara itu, peguam bela, Nicholas Lumley KC, berkata Thomas sebelum kejadian merupakan seorang bapa yang penyayang dan tiada siapa menyangka dia melakukan perbuatan tersebut.
Hakim, Mr Justice Sheldon KC, bagaimanapun berkata Thomas telah menggoncang anaknya dengan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan otak yang serius dan tidak dapat dipulihkan.
Beliau menyifatkan Emmerson sebagai bayi yang sihat, ceria dan telah membawa kegembiraan kepada keluarganya sebelum nyawanya diragut.
Hakim turut berpandangan Thomas berkemungkinan terlalu letih dan hilang sabar apabila bayinya tidak berhenti menangis atau enggan menyusu.
“Anda hilang sabar. Selama kira-kira seminit, anda menggoncang Emmerson dengan begitu kuat sehingga menyebabkan kecederaan yang membawa maut,” katanya ketika menjatuhkan hukuman.
Menurut hakim, Thomas menyesali perbuatannya sejurus selepas kejadian dan berharap anaknya akan pulih, namun perkara itu tidak berlaku.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Thomas dengan tempoh minimum 14 tahun sebelum layak dipertimbangkan untuk parol, selepas mengambil kira 279 hari yang telah dilaluinya dalam tahanan.