Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak mengeluarkan tiga kompaun terhadap pemilik kenderaan yang didapati melepaskan asap hitam melebihi had ditetapkan dalam satu operasi bersepadu di Kilometer 80, Jalan Butterworth-Ipoh, Taiping.
JAS berkata, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi mengesan kenderaan yang mencemarkan alam sekitar melalui pelepasan asap hitam.
“Sepanjang operasi berlangsung, sebanyak tiga kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut JAS, selain kompaun, tiga Notis Arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) turut dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terbabit bagi mengarahkan mereka menjalani ujian semula.
JAS berkata, tindakan penguatkuasaan itu bertujuan memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan pelepasan asap selain mengurangkan pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta alam sekitar.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyeru semua pemilik kenderaan, khususnya yang menggunakan enjin diesel, supaya melakukan penyelenggaraan secara berkala dan menjalani pemeriksaan di Puspakom.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat digunakan serta tidak melepaskan pencemaran udara yang boleh mengancam kualiti alam sekitar dan kesihatan orang ramai.