Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Zon Ekonomi Malaysia-Thailand Dijangka Lonjak Perdagangan – PM Anwar

THAILAND
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Zon Ekonomi Malaysia-Thailand Dijangka Lonjak Perdagangan – PM Anwar

Pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri utara Semenanjung menerusi peningkatan perdagangan, pelaburan serta pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu merupakan antara strategi utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan sempadan membabitkan Perlis, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan utara Perak.

Katanya, kerjasama strategik antara Malaysia dan Thailand turut membuka ruang baharu kepada pengeksport tempatan apabila laluan perdagangan ke Laos, Kemboja dan Vietnam dipermudah menerusi perjanjian yang dipersetujui kedua-dua negara.

“Sekarang ini kita berikan laluan barang makanan dan perikanan dari Thailand melalui Semenanjung ke Singapura.

“Sebelum ini barang dari Malaysia tidak dapat melepasi beberapa sekatan kastam Thailand ke Laos, Kemboja dan Vietnam, namun dengan perjanjian baharu ini peluang perdagangan Malaysia akan bertambah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta kerajaan menjelaskan manfaat ekonomi pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand serta mekanisme bagi memastikan perusahaan kecil dan komuniti setempat turut menikmati limpahan pembangunan.

Menurut Anwar, antara projek utama yang sedang diberi perhatian ialah Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech Park, Perlis Inland Port (PIP), Kedah Rubber City, pembangunan Bukit Kayu Hitam, pembinaan Jambatan Sungai Golok serta pembangunan kawasan Rantau Panjang.

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM327 juta bagi pembangunan Perlis Inland Port (PIP) yang akan berfungsi sebagai hab logistik strategik menghubungkan Malaysia dengan Laos menerusi fasa pertama berkapasiti 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Ujarnya, projek-projek tersebut turut disokong oleh peluasan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga ke sempadan Malaysia-Thailand bagi memperkukuh rangkaian logistik dan perdagangan serantau.

Tambah beliau, pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand diyakini mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat dan memperkukuh daya saing negara di peringkat serantau.