Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) -- Seorang bapa melecur pada bahagian kepala dan pergelangan tangan, manakala anak lelakinya mengalami sesak nafas selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka di Taman Seri Istana Hills, Klang, terbakar awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata dalam kejadian kira-kira 5.23 pagi itu, menyebabkan rumah berkenaan musnah kira-kira 70 peratus.
Beliau berkata sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan, dikejarkan ke lokasi yang turut dibantu anggota dari BBP Klang Utara.
“Sebanyak 13 anggota bersama dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS), terlibat dalam operasi pemadaman.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 5.47 pagi. Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun yang melecur kira-kira 10 peratus pada bahagian kepala dan pergelangan tangan, manakala anak lelakinya berusia 28 tahun mengalami sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata kedua-dua mangsa berjaya keluar sendiri dari rumah bagi menyelamatkan diri, selepas api merebak dengan cepat sebelum Pasukan Perkhidmatan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba kemudian memberikan rawatan awal dan menghantar mereka ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata operasi pemadaman dan kerja-kerja memastikan kawasan selamat sepenuhnya, tamat pada 7.50 pagi.