Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bas Bawa Jemaah Umrah Terlibat Kemalangan, 45 Dilapor Terkorban
RIYADH — Sekurang-kurangnya 45 dilaporkan maut manakala seorang selamat dalam satu kemalangan bas yang membawa jemaah Umrah dari India, berhampiran kota suci Madinah pada awal pagi Isnin, lapor AFP.
Menurut Pesuruhjaya Polis bandar Hyderabad, VC Sajjanar, maklumat awal mendedahkan 46 orang berada di dalam bas, dengan sebahagian besar merupakan warga India.
“Menurut maklumat awal, seramai 46 orang berada dalam bas ketika kejadian berlaku, dan malangnya, hanya seorang yang terselamat,” katanya.
Pihaknya turut menyifatkan insiden itu sebagai antara kemalangan paling tragis di negara tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menzahirkan ucapan takziah melalui hantaran di media sosial.
Beliau memaklumkan bahawa kedutaan India kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi di lokasi kejadian.
“Saya amat sedih dengan kemalangan di Madinah yang membabitkan rakyat India. Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang,” tulis Perdana Menteri di platform X.
Menurut kenyataan PBB pada 2023, nahas jalan raya merupakan salah satu punca utama kecederaan dan kematian di Arab Saudi.
Negara itu masih mencatat kadar kematian jalan raya tertinggi berbanding negara-negara berpendapatan tinggi lain khususnya sewaktu musim haji.
Pada Mac 2023, sebuah bas yang membawa jemaah ke kota suci Mekah terbakar selepas berlanggar di sebuah jambatan, mengakibatkan 20 orang maut dan puluhan lagi cedera.
Sumber: AFP