Sebuah bas pelancong yang membawa 48 penumpang dari Belanda terbalik dalam kemalangan serius di timur Switzerland, mengakibatkan beberapa orang maut manakala yang lain cedera.
Bas pelancong Belanda terbalik di Switzerland
Memetik laporan AP News, kemalangan berlaku di antara kampung Susch dan Zernez di wilayah Graubuenden, kawasan pergunungan di timur Switzerland.
Pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian, namun polis setakat ini belum mendedahkan jumlah sebenar mangsa yang maut dan cedera.
Menurut media Switzerland, kesemua 48 penumpang dalam bas berkenaan merupakan warga Belanda. Jurucakap Persatuan Industri Pelancongan Belanda (ANVR) turut mengesahkan perkara itu kepada akhbar Blick.
Jurucakap polis berkata bas berkenaan dipercayai melanggar penghadang jalan sebelum terbalik. Tiada kenderaan lain dipercayai terbabit dalam kemalangan itu.
Beberapa ambulans dan lima helikopter turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat.

