Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Beberapa Individu Cedera, Pesawat 'Tersembam' Di Lapangan Terbang Frankfurt
Beberapa pekerja Lufthansa cedera dalam satu kemalangan yang melibatkan sebuah pesawat Lufthansa, Boeing 787-9 Dreamliner tersembam ketika sedang diletakkan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Frankfurt pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
Lufthansa mengesahkan bahawa insiden berkenaan telah berlaku di lapangan terbang itu sekitar jam 12.45 tengah hari waktu tempatan.
Bagaimanapun, Agensi Berita Jerman (dpa) memaklumkan punca insiden itu masih belum dipastikan.
Difahamkan, tayar (roda) hadapan kapal berkenaan secara tiba-tiba terlipat masuk sewaktu pesawat itu sedang berada dalam keadaan parkir.
Pesawat tersebut merupakan Penerbangan LH450 yang dijadualkan terbang ke Los Angeles.
"Semasa insiden itu berlaku, anak kapal dan kakitangan darat berada di dalam pesawat. Penumpang masih belum menaiki pesawat.
"Beberapa pekerja mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan perubatan," kata seorang jurucakap Lufthansa.
Punca sebenar kejadian kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk juruteknik dan kakitangan sokongan berada di lokasi kejadian.
Menerusi gambar tular di media sosial menunjukkan pesawat Dreamliner tersebut tersadai dalam keadaan bahagian perutnya mencecah lantai betul-betul di sebelah pintu pelepasan.
Sebelum ini, satu video tular di internet menunjukkan bahagian hadapan (muncung) pesawat tersebut tiba-tiba jatuh ke bawah.
Roda pendaratan hadapan dilihat membengkok ke hadapan, dua kepingan penutup pada roda pendaratan hadapan kelihatan patah, dan bahagian enjin pula kelihatan hampir mencecah tanah.
Untuk makluman, Pesawat Boeing 787-9 tersebut dilaporkan baru sahaja memulakan perkhidmatan komersial secara tetap sejak pertengahan Januari 2026.