Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Bintang Chelsea Dedah Tak Pernah 'Usik' Gaji RM818 Juta

gaji chelsea
Gambar: The Obi One Podcast/YouTube

Bekas Bintang Chelsea Dedah Tak Pernah 'Usik' Gaji RM818 Juta

Bekas bintang Chelsea, Oscar mendedahkan bahawa beliau tidak pernah membelanjakan walau sesen pun daripada gaji lumayan yang diterimanya sepanjang beraksi di China.

Pemain kelahiran Brazil itu menyertai Chelsea dari Internacional pada 2012 sebelum mengharungi lima musim cemerlang di Stamford Bridge dengan membantu kelab itu menjulang dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala Liga serta Liga Europa.

Sepanjang bersama The Blues, Oscar menjaringkan 38 gol dan mencipta 31 bantuan jaringan dalam 203 penampilan sebelum membuat keputusan mengejut pada 2017 apabila meninggalkan EPL untuk menyertai kelab China, Shanghai Port (ketika itu dikenali sebagai Shanghai SIPG), pada usia 26 tahun.

Chelsea dilaporkan menerima tawaran sekitar £60 juta (sekitar RM327,366,000 mengikut kadar semasa), sekali gus menjadi rekod jualan tertinggi kelab ketika itu.

Di China, Oscar dikatakan menerima gaji sekitar £20 juta (sekitar RM109,122,000) setahun selepas cukai, menjadikannya antara pemain bola sepak dengan pendapatan tertinggi di dunia.

Sepanjang tujuh tahun bersama Shanghai Port, beliau dipercayai memperoleh sehingga £150 juta (sekitar RM818,415,000), walaupun Oscar sendiri menafikan jumlah sebenar itu.

Hanya bergantung kepada bonus perlawanan untuk tampung hidup

Namun, pemain tengah itu mendedahkan bahawa keseluruhan gajinya disimpan dalam akaun berasingan tanpa pernah digunakan.

Sebaliknya, beliau dan keluarganya hanya bergantung kepada bonus perlawanan yang diterima sepanjang beraksi di Liga Super China.

"Saya memasukkan keseluruhan gaji ke dalam satu akaun yang berasingan dan tidak pernah menyentuhnya walaupun sekali.

"Saya dan keluarga hidup menggunakan bonus perlawanan kerana jumlahnya sudah cukup besar," katanya ketika menjadi tetamu dalam podcast The Obi One kendalian bekas rakan sepasukannya di Chelsea, John Obi Mikel.

Sepanjang bersama Shanghai Port, Oscar merekodkan 77 gol dan 142 bantuan jaringan dalam 248 penampilan, selain membantu kelab itu memenangi tiga kejuaraan Liga Super China dan satu Piala FA China.

Beliau meninggalkan China pada 2024 sebelum kembali menyertai kelab zaman kanak-kanaknya, Sao Paulo pada 2025 dan mengumumkan persaraan pada tahun yang sama ketika berusia 34 tahun.

Di peringkat antarabangsa pula, Oscar membuat 48 penampilan bersama skuad Brazil, membantu negara itu menjuarai Piala Konfederasi FIFA 2013 serta tersenarai dalam Pasukan Pilihan Piala Dunia 2014.

Sumber:The Sun UK