Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Dilantik Sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia

mahkamah
Kredit: Facebook Fahmi Fadzil

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Dilantik Sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), menurut satu kenyataan yang dikeluarkan badan itu.

MMM memaklumkan, pelantikan Tan Sri Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat yang berlangsung pada 26 Mei lalu.

Menurut kenyataan itu, pelantikan berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh peranan badan kawal selia kendiri tersebut sebagai institusi yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam.

Tan Sri Nallini bersara daripada Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu selepas menabur bakti selama 18 tahun dalam badan kehakiman negara.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan dan menghasilkan kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk melibatkan kes undang-undang perlembagaan dan komersial.

Beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia.

Kini, Tan Sri Nallini masih aktif sebagai penimbang tara dan pengantara selain memegang beberapa jawatan penting di peringkat antarabangsa.

Antara jawatan yang disandang beliau termasuk Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa (IBA).

Menurut MMM, pengalaman luas serta komitmen beliau terhadap kebebasan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau individu paling sesuai untuk menerajui organisasi itu.

Majlis Media Malaysia ditubuhkan menerusi Akta Majlis Media Malaysia 2025 sebagai badan kawal selia kendiri industri media.

Penubuhannya bertujuan memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan aduan awam serta mempromosikan amalan media yang beretika.

Di bawah kepimpinan baharu itu, MMM dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi, pelaksanaan Kod Tatakelakuan serta pembangunan sistem aduan yang lebih adil.

Selain itu, majlis berkenaan turut berhasrat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan media dalam sistem demokrasi.

Pelantikan Tan Sri Nallini dibuat ketika industri media kini berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), penyebaran maklumat palsu serta usaha memulihkan keyakinan awam terhadap media.

MMM yakin kepimpinan beliau mampu memacu organisasi itu ke arah institusi yang lebih matang, bebas dan berwibawa, selaras dengan prinsip standard, etika dan kebebasan media.