Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Koperal SB Bunuh Rakan Dipenjara 38 Tahun

Athirah
Bekas Koperal
Kredit: Bernama

Bekas Koperal SB Bunuh Rakan Dipenjara 38 Tahun

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) — Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati seorang bekas anggota cawangan khas Bukit Aman (SB) atas kesalahan menembak mati rakan sekerjanya 10 tahun lepas, dengan penjara 38 tahun.

Panel tiga hakim membenarkan permohonan bekas korperal itu di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Panel berkenaan terdiri daripada Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.

Ketika menyampaikan hukuman mahkamah, Hakim Harmindar berkata kes korperal itu bukanlah kes luar biasa. Beliau berkata pembunuhan itu berpunca daripada pertelingkahan mengenai suatu hutang.

Hakim Harmindar memerintahkan korperal itu menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap iaitu 2 Feb, 2014.

Korperal yang berusia 43 tahun itu disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2018 atas kesalahan membunuh rakannya, 37.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Negeri Sembilan di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur antara 4.11 petang dan 4.50 petang pada 4 Feb, 2014.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah menolak rayuannya masing-masing pada 2020 dan 2021.

Terdahulu, peguam korperal tersebut, Kee Wei Lon berkata ia adalah salah pertimbangan daripada anak guamnya selepas mangsa meminta bayaran balik dua kali ganda jumlah yang dipinjam.

Beliau berkata kejadian itu bukanlah pembunuhan yang dirancang dan menggesa mahkamah membenarkan permohonan berkenaan manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berhujah mangsa ditembak dua kali dari jarak dekat.

BACA: Hasil Siasatan Konsisten, Punca Kematian Nidza Afham Masih Diklasifikasi Mati Mengejut

Sumber: Bernama