Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Menteri Thailand Kalah Rayuan Berkaitan Kes Rasuah, Kena Hukuman Penjara 50 Tahun

Gambar: Apichart Jinakul/Bangkok Post

Bekas menteri kabinet Thailand, Watana Muangsook dilaporkan kalah dalam perbicaraan terakhir di Mahkamah Agung, sekaligus mengekalkan hukuman 50 tahun penjara ke atas ahli politik itu.

Watana disabitkan kesalahan di Bahagian Jenayah Mahkamah Agung bagi Penjawat Politik berkait kes rasuah projek perumahan kos rendah hampir dua tahun lalu, lapor Bangkok Post.

Menurut Bangkok Post, hakim semasa keputusan dibacakan terhadap Watana berkata, rayuan bekas menteri itu tidak mampu mengubah hukuman ke atasnya.

Didapati bersalah atas 11 tuduhan rasuah

Pada bulan September 2020, mahkamah mendapati Watana bersalah atas 11 pertuduhan rasuah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 99 tahun.

Pun begitu, undang-undang hanya membenarkan hukuman maksimum 50 tahun penjara ke atas Watana jika disabitkan bersalah.

Watana dituduh menyalahgunakan kuasa dan meminta sogokan berkait projek perumahan kos rendah bernilai 2.5 bilion Baht (kira-kira RM320 juta) ketika dia berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan pada awal 2000-an.

Ketika itu, Watana merupakan salah seorang menteri yang memegang jawatan pada era pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang kemudiannya digulingkan oleh pemerintahan ketenteraan 16 tahun lalu.

Bekas menteri kabinet itu bagaimanapun merayu agar dia boleh diikat jamin dengan jaminan sebanyak 10 juta Baht (kira-kira RM1.2 juta), dengan syarat dia tidak boleh meninggalkan Thailand.

Yakin tidak bersalah

Pada 19 Februari lalu, Watana dikatakan memberi pesanan di laman Facebook menyatakan dia yakin bukti yang diperolehi bakal membuktikan dia tidak bersalah dan berjanji hadir ke mahkamah pada Jumaat.

“Tidak kira apa pun yang terjadi, saya akan menggunakan semua saluran yang ada untuk membuktikan kebenaran hingga ke detik akhir. Terima kasih,” tulis Watana.

Siasatan dimulakan oleh Jawatankuasa Pemeriksa Aset yang ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.

Jawatankuasa yang kini sudah tidak beroperasi, sebelumnya ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan kes rasuah terhadap pemegang jawatan kerajaan pimpinan Thaksin.

Kes tersebut kemudiannya ditangani oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Kebangsaan yang mengajukan penemuan mereka kepada Pejabat Peguam Negara pada bulan November 2016, selepas menyarankan Watana didakwa atas pelanggaran Kanun Jenayah.

Sumber: Bangkok Post