Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Penghuni Rumah Anak Yatim Kembali Berbakti, Hadiahkan MacBook Kepada ‘Junior’ Cemerlang SPM

Bekas Penghuni Rumah Anak Yatim
Kredit: siben_ dua
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Bekas Penghuni Rumah Anak Yatim Kembali Berbakti, Hadiahkan MacBook Kepada ‘Junior’ Cemerlang SPM

Sedekah bukan hanya tentang memberi wang, tetapi juga tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap insan lain.

Walaupun kita merasakan nilainya tidak seberapa, namun setiap pemberian mampu membawa sinar buat mereka yang memerlukan.

Ia juga mungkin menjadi asbab yang membawa keberkatan dalam hidup kita.

Baru-baru ini, perkongsian pengguna Threads, @siben_ dua, yang membantu seorang penghuni Rumah Anak Yatim Sungai Pinang Klang menarik perhatian ramai.

Bantu anak yatim cemerlang SPM beli kelengkapan

Sahbani Shapudin dan rakannya, Nurhani Amirah Adenan, membawa penghuni tersebut yang juga merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membeli persiapan untuk ke universiti pada awal bulan Julai nanti.

Mereka juga memberikan MacBook sebagai hadiah kepada penghuni itu.

Untuk pengetahuan, Sahbani juga pernah menghuni rumah anak yatim itu sekitar tahun 2002 hingga 2012.

"Malam tadi kami bawa Adik Nik, penghuni Rumah Anak Yatim Sungai Pinang Klang yang cemerlang dalam SPM 2025, untuk beli set lengkap baju sebagai persiapan masuk ke Program Asasi Sains Universiti Malaya awal bulan 7 nanti.

"Pencapaian SPM dia memang sangat-sangat membanggakan," katanya.

Kredit: siben_ dua
Kredit: siben_ dua

Sebelum membeli pakaian, Nik juga dibawa ke sebuah restoran untuk menjamu selera.

Sering melawat adik-adik

Sahbani berkata dia dan Nurhani sering ke rumah anak yatim itu untuk melawat penghuni di situ serta berbahagi rezeki.

Kredit: siben_ dua
Kredit: siben_ dua

"Kami sudah masuk awal 30-an, secara ekonominya sudah agak stabil.

"Kebetulan juga, aku dulu dibesarkan dekat rumah anak yatim yang sama 2002 hingga 2012.

"Mula-mula datang semula ke rumah anak yatim ini, ingat cuma nak melawat saja, tapi kami terkejut masa itu (sebelum SPM) ada beberapa adik-adik di sini yang tengah bersedia untuk SPM.

"Setiap orang ada potensi yang besar di masa depan, jadi bila nampak potensi ini, kami berdua berazam untuk cuba sokong mana yang mampu," katanya.

Menurutnya lagi, Nik bercita-cita untuk menjadi seorang doktor suatu hari nanti.

Selain cemerlang dalam akademik, Nik juga dilihat mempunyai potensi dalam kepimpinan.

"Di sebalik kekurangan, Nik dilantik menjadi ketua pengawas di sekolah dan Nik juga menjadi ketua pelajar untuk adik-adik di sini.

"Kalau ada sesiapa yang boleh bantu untuk Adik Nik dapatkan biasiswa-biasiswa yang tersedia, sangatlah kami hargai.

"Kami nampak potensi yang besa dan kami akan sokong sebolah yang mampu," ujarnya.

Rumah Anak Yatim Sungai Klang ditubuh sejak 1948

Dalam pada itu, Sahbani turut berkongsi bahawa rumah anak yatim tersebut telah ditubuhkan sejak tahun 1948 oleh Haji Siraj dan isteri.

Ia diuruskan secara persendirian oleh pasangan itu untuk menjaga anak-anak yatim dan miskin di sekitar kawasan Klang.

Kredit: siben_ dua

Legasi itu diteruskan oleh anak-anak dan cucu Haji Siraj sehingga ke hari ini.

Ketika ini, rumah anak yatim itu menempatkan sekitar 50 orang anak-anak.

Ketika ditemubual SK, Sahbani berharap agar adik-adik di rumah itu mendengar kata pengetua yang juga dipanggil sebagai Abah Bani.

"Jadikan Nik sebagai contoh dan tanamkan azam suatu hari nanti bila sudah berjaya, datanglah semula jenguk adik-adik generasi seterusnya di asrama dan batu mereka semampu yang boleh," katanya.