Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa bekas pengurus Petronas pernah memohon kerja di Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) beberapa bulan sebelum didakwa mendedahkan maklumat sulit berkaitan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada PETROS.
Penganalisis Sumber Manusia PETROS, Nurul Qurratu Aini Laila Junaidi, 40, berkata tertuduh telah memohon untuk jawatan Head Upstream Finance melalui sistem dalam laman web PETROS pada 24 Jan 2024.
"Pada 27 Mac 2024, saya telah menghubungi tertuduh melalui e-mel dan telefon bagi menyampaikan tawaran pekerjaan bagi jawatan Head Finance (Gas Aggregator & Sarawak Resource Management (SRM) ) dengan tawaran gaji sebanyak RM25,000 sebulan. Skop tugas jawatan tersebut adalah mengurus hal ehwal kewangan untuk SRM & Gas Aggregator," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes tertuduh yang berdepan pertuduhan cuba mendedahkan laporan berkenaan kepada PETROS pada Jun 2024.
Saksi pendakwaan ketiga itu berkata tawaran pekerjaan tersebut dibuat setelah panel temu duga memilih tertuduh sebagai calon yang sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan, memandangkan tertuduh memenuhi kriteria yang telah ditetapkan bagi jawatan itu.
Nurul Qurratu Aini Laila berkata semasa proses itu, tertuduh telah meminta gaji sebanyak RM37,000 sebulan, namun PETROS tidak dapat memenuhi permintaan itu dan kekal dengan tawaran asal sebanyak RM25,000 sebulan.
"Tujuan beliau (tertuduh) meminta kadar gaji yang lebih tinggi daripada tawaran asal yang dikemukakan PETROS kerana pengalaman beliau dalam operasi minyak dan gas domestik serta antarabangsa. Selepas tawaran tersebut ditolak oleh beliau, pihak PETROS tidak membuat sebarang tawaran balas," kata saksi itu.
Selain itu, Nurul Qurratu Aini Laila berkata beliau mengenali Datuk Janin Girie ialah Ketua Pegawai Eksekutif, manakala Mohd Azha Abdul Jalil merupakan Ketua Pegawai Kewangan PETROS, selain mengetahui alamat e-mel mereka berdasarkan maklumat dalam sistem e-mel rasmi syarikat.
Pada 25 Jun lepas, bekas Pengurus Kanan Perhubungan Perusahaan Petronas, Jumsuri Basri, 48, yang juga saksi pendakwaan pertama berkata hasil semakan mendapati pada 3.19 petang, 8 Jun 2024, tertuduh telah menghantar satu dokumen sulit bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance” melalui e-mel Petronas miliknya kepada alamat e-mel PETROS.
Pada keesokannya (26 Jun), Pengurus Besar Petronas, Syakirah Mustapa, 51, yang juga saksi pendakwaan kedua memberitahu mahkamah bahawa tiada kebenaran pernah diberikan kepada tertuduh untuk menggunakan laporan tersebut bagi tujuan peribadi, atau dikongsi dengan pihak ketiga, iaitu Janin dan Mohd Azha.
Sementara itu, kepada soalan peguam Louis Liaw Vern Xien mewakili tertuduh, saksi itu berkata panel temu duga yang memilih tertuduh sebagai calon yang sesuai untuk mengisi jawatan Head Finance (Gas Aggregator & SRM) ialah Mohd Azha dan Naib Presiden Kanan SRM Datuk Abang Arabi Abang Narudin.
Ketika ditanya oleh Liaw sepanjang saksi itu bekerja adakah PETROS pernah meminta maklumat sulit daripada calon (temu duga), Nurul Qurratu Aini Laila menjawab 'tiada'.
Tertuduh, 41, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat, iaitu satu dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, yang dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga setahun, manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung esok.